Wan Salim.

GEORGE TOWN – Tiada dalil yang melarang secara tegas  tindakan membaca al-Quran di dalam rumah ibadat orang bukan Islam.

Itu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang pelancong membaca potongan Surah al-Anbiya’ ayat 66 dan 67 di hadapan kuil Hindu Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Menurut Wan Salim, bacaan ayat al-Quran kepada penganut atau rumah ibadah bukan Islam bergantung pada tujuan yang dikehendaki.

“Jika tujuannya untuk mendakwah penganut agama lain agar memeluk agama Islam atau untuk mengapresiasi keindahan segala ajarannya, maka ia diharuskan malah perlu digalakkan.

“Bagaimanapun, lebih elok jika diadakan di tempat lain seperti di dewan kuil untuk mengelak salah faham orang ramai atau tohmahan serta fitnah yang akan menyusahkan pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, harus hukum bagi orang bukan Islam atau orang kafir membaca al-Quran tanpa menyentuh mushaf (lambaran al-Quran).

“Malah dicadangkan agar orang bukan Islam diberi terjemahan al-Quran jika mereka ingin mengetahui isi kandungannya.

“Semoga mereka mendapat hidayah daripada Allah SWT dan menerima Islam sebagai anutan dengan izinNYA,” kata beliau.

Media semalam melaporkan seorang pelancong asing yang tular kerana membaca potongan ayat al-Quran di hadapan kuil Hindu Batu Caves memohon maaf di atas keterlanjurannya hingga mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini.

Pempengaruh yang menggunakan nama Abdeen itu  tidak berniat mahu menyentuh sensitiviti mana-mana agama kerana menganggap Batu Caves sekadar lokasi bersejarah dan semua pelancong boleh merakam video bagi tujuan peribadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast