Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan menunjukkan buku Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan pada Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Seramai 1,467 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu gagal dalam semua mata pelajaran dengan mendapat gred G (Gagal).

Berdasarkan laporan analisis keputusan SPM 2023, jumlah itu naik 0.4 peratus berbanding 1,439 calon pada tahun 2022.

Bagaimanapun pencapaian SPM 2023 juga mencatatkan bagi kedua-dua kategori calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan.

Namun begitu, jurang pencapaian calon antara bandar dan luar bandar tetap kekal iaitu pada 0.43 mata seperti peperiksaan SPM 2022.

Keputusan peperiksaan SPM 2023 berbanding SPM 2022 menunjukkan sebanyak 66 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 25 mata pelajaran mencatatkan penurunan dan empat mata pelajaran menunjukkan prestasi tidak berubah atau kekal.

Prestasi kesemua mata pelajaran Teras dalam peperiksaan SPM 2023; iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan.

Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.20 mata manakala mata pelajaran Bahasa Melayu pula menunjukkan prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.86 mata.

Sementara itu, sidang sidang media laporan analisis keputusan peperiksaan SPM oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berlangsung di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini, hari ini.

Peperiksaan SPM tahun 2023 berlangsung pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac lalu.

Seramai 395,924 calon telah mendaftar peperiksaan SPM 2023 di mana bilangan calon menunjukkan pengurangan sebanyak 1.9 peratus peratus (7,713 calon) berbanding SPM 2022 iaitu seramai 403,637 calon.

Daripada keseluruhan calon berdaftar dalam peperiksaan SPM 2023, 383,685 calon merupakan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

Daripada 383,685 calon baharu tersebut pula, seramai 373,525 telah hadir dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. – MalaysiaGazette