Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor perlu membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menampung peningkatan kos penyelenggaraan bukan dengan menaikkan kadar cukai taksiran.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar A.Samad berkata, pihaknya memahami PBT memerlukan pendapatan tambahan memandangkan kos-kos penyelenggaraan meningkat.

Namun katanya, PBT dalam masa yang sama mesti memikirkan nasib rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup yang kian meningkat dan tidak wajar untuk menambah beban sedia ada.

“REACH mencadangkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapatkan tambahan RM14 juta ini daripada kerajaan negeri Selangor agar rakyat tidak dibebankan.

“PBT-PBT lain yang memerlukan pendapatan tambahan juga perlu dibantu oleh kerajaan negeri.

“Bantuan perlu dihulurkan sehingga keadaan ekonomi pulih sepenuhnya iaitu apabila rakyat tidak lagi terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan MPAJ mengumumkan akan melaksanakan kadar cukai taksiran yang baharu untuk 181,144 premis merangkumi 85,646 premis di atas tanah dan 95,498 premis strata.

Premis strata yang tidak direnovasi akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus sementara premis yang telah direnovasi akan mengalami kenaikan lebih tinggi.

Pada 27 April lalu, Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad mengumumkan pendapatan tambahan daripada kenaikan cukai taksiran berjumlah RM14 juta setahun.

Untuk rekod, ketika ini, pendapatan tahunan MPAJ berjumlah RM85 juta setahun.

Dalam pada itu, Iskandar juga berkata, Kerajaan Negeri Selangor masih mempunyai kemampuan kewangan untuk menampung kenaikan kos penyelenggaraan dan  menangguhkannya apabila ekonomi kembali sepenuhnya.

“REACH yakin Selangor sebagai negeri maju memiliki kemampuan untuk membantu rakyat yang hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Kami yakin rakyat akan amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri jika kenaikan cukai taksiran ini ditangguhkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette