Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 58 dakwaan menggunakan cek palsu berjumlah lebih RM2 juta milik kesatuan itu pada tahun 2022.

Sebaliknya tertuduh, Murni Azlina Yurdeksi mengaku tidak bersalah selepas pendakwaan dibacakan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut kesemua pertuduhan, Murni didakwa telah menggunakan 58 keping sebagai tulen cek RHB Bank Berhad berjumlah lebih RM2 juta milik KRM yang sebenarnya tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai tandatangan pada cek berkenaan adalah palsu.

Kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 468 kanun sama andai sabit boleh dipenjarakan maksimum tujuh tahun dan denda.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Haniff Ahijman dan Raihana Abdul Razak memohon jaminan sebanyak RM350,000 bagi semua pertuduhan.

Turut dipohon ialah syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam mewakili tertuduh, Vijay Kumar memohon mahkamah mengurangkan jaminan memandangkan tertuduh mempunyai empat orang anak yang perlu ditanggung.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan selain daripada syarat-syarat lain.

Sebutan kes pula ditetapkan pada 1 Julai ini. -MalaysiaGazette