Nancy mengadakan lawatan ke kilang Flextronics Sdn Bhd di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Dasar pengisian satu peratus orang kelainan upaya (OKU) dalam penggajian yang ditetapkan kerajaan sejak 2010 masih tidak berjaya mencapai sasaran, kata Menteri Pembangunan, Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri.

Jelas beliau, infrastruktur bangunan yang tidak mesra OKU dikenal pasti antara punca golongan itu kurang ditawarkan pekerjaan oleh majikan.

“Sehubungan itu, dalam usaha merealisasikan dasar tersebut KPWKM menggalakkan majikan mengambil pekerja daripada golongan tersebut  selain itu, kita juga memerlukan sokongan pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) penting dalam memastikan OKU ditawarkan pekerjaan bersesuaian.

“Kita akan minta Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) untuk mempercepatkan lagi komunikasi dalam hal ini supaya tindakan diambil oleh pihak-pihak berkaitan yang seharusnya membuat penambahbaikan kepada infrastruktur ini.

“Malah, kita mahu penambahbaikan infrastruktur itu berlaku di seluruh negara bukan membabitkan satu negeri sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kilang Flextronics. Sdn Bhd di sini hari ini.

Nancy (tengah) bergambar dengan pekerja OKU (barisan belakang) kilang berkenaan.

Mengulas lanjut, Nancy memuji inisiatif kilang pembuatan komponen elektrik itu yang menyahut seruan kerajaan dengan menggajikan seramai 136 pekerja OKU pendengaran, pembelajaran dan lain-lain pada tahun ini yang bersamaan 1.4 peratus iaitu melebihi angka dasar penggajian oku.

Katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif kepada majikan seperti potongan berganda bagi cukai latihan dan cukai pendapatan serta potongan khas pengubahsuaian bangunan atau keperluan alat sokongan oku dalam memberi galakan.

“Menerusi Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) kita juga menyediakan perkhdimatan job coach berbentuk sokongan secara ‘one to one’ dengan pekerja tersebut  dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga buruh,” katanya.

Untuk rekod, setakat 30 April lalu, jumlah keseluruhan OKU yang aktif di seluruh negara adalah seramai 703,287 orang termasuk yang layak bekerja seramai 372,164 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast