Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor

JOHOR BAHRU – Sembilan projek perumahan terbengkalai membabitkan 2,314 buah kediaman dan kedai yang terbengkalai dijangka diselesaikan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia membabitkan Taman Seri Molek Perdana, Taman Residensi Larkin Indah, Taman Permata Layang, Taman Seri Saujana di Kota Tinggi manakala Taman Pelangi, Taman Seri Unas Permai di Muar dan Taman Impiana Kulai fasa dua yang melibatkan tujuh pemaju dengan anggaran nilai keseluruhan RM 412.93 juta.

“Dua projek perumahan terbengkalai akan disiapkan tahun ini iaitu Taman Kulai Utama dan Taman Permata Impian, Kulai yang membabitkan anggaran nilai RM 18.37 juta.

“Tahun lepas, kita bersama dengan pemaju dan juga pelbagai agensi berkaitan berjaya mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi 951 unit rumah membabitkan lima projek perumahan sakit, iaitu Taman Residensi di Kota Tinggi, Taman Sri Saujana di Kulai, Taman Seri Desa Impian Bandar Tenggara, Taman Koperasi Nelayan Endau dan Taman Desa Permai.

“Bagi projek rumah terbengkalai yang kita berjaya dapatkan CCC tahun lalu ialah projek Taman Desa Kempas membabitkan 157 unit rumah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Jafni berkata, isu projek perumahan terbengkalai sukar diselesaikan jika membabitkan projek syarikat persendirian yang gulung tikar.

“Projek sakit dan terbengkalai ini penyelesaiannya tidak semesti rumah itu siap. Ada cara kita minta pampasan.

“Sebab pemaju kata mereka tidak boleh buat rumah dengan kos 10 tahun lepas kerana kos sekarang sudah tentu 30 hingga 40 peratus tinggi. Mereka tidak mampu buat rugi hampir RM10 juta,” ujarnya.

Sebagai contoh, Mohd. Jafni berkata, prejek perumahan Taman Permata Impian Kulai yang merangkumi pembinaan lebih 200 buah rumah mampu milik telah terbengkalai selama 20 tahun dengan pemaju memberi alsan mereka tidak dapat menyiapkannya dengan alasan kerugian dan kos terlalu tinggi.

Berikutan itu, beliau memberitahu, perbincangan diadakan dan pihaknya meminta pemaju memberi pampasan kepada pembeli.

Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri berusaha membuka ruang dengan memberi laluan perbincangan elain memastikan pemaju terbabit dapat menyelesaikan masalah terlibat. – MalaysiaGazette