Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Padang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memfailkan afidavit pada 21 Mei lepas bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib telah memohon kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Dalam afidavitnya, Wan Rosdy mengaku beliau telah dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Januari lalu bahawa terdapat titah untuk membenarkan Najib menjalani hukuman itu di rumah.

“Pada petang 30 Januari 2024, Yang Berhomat Tengku Zafrul telah memberitahu bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah pun keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50 peratus dan hukuman denda pula kepada RM50 juta sahaja.

“Kedua, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Aging XVI telah mengeluarkan satu lagi perintah (Perintah Adendum) yang memerintahkan pemohon menjalani pemenjaraan serta merta di rumah kediaman pemohon dan bukan mana-mana penjara.

“Pada 30 Januari 2024 awal malam bertempat di kediaman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Country Heights Kajang, saya telah hadiri mesyuarat bersama Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Johari Ghani, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya telah laporkan apa yang telah dimaklumkan oleh Senator Tengku Zafrul pada hari itu berkaitan wujudnya Titah Adendum tersebut dan Datuk Seri Ahmad Zahid ambil maklum tentang perkara.

“Beliau juga beritahu saya beliau sudah diberitahu tentang perkara itu pada hari sama dan telah membaca tentang titah itu,” katanya dalam afadavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi, di sini.

Menurut Wan Rosdy, beliau tidak mempunyai salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 kerana alasan-alasan kerahsiaan dan kewajaran terutamanya apabila titah tersebut belum dilaksanakan atau dikuatkuasakan seperti sepatutnya berlaku.

Afidavit itu menamakan tujuh responden, termasuk Kerajaan Persekutuan, Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara dan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Ia juga merupakan afidavit kedua oleh pemimpin utama UMNO selepas Ahmad Zahid yang memfailkan afidavitnya pada 9 April lalu menyokong permohonan Najib.

MalaysiaGazette difahamkan, surat Jabatan Peguam Negara kepada Mahkamah Sivil bertarikh 23 Mei lepas, pihaknya membantah permohonan Najib untuk memasukkan afidavit Wan Rosdy ke dalam prosiding. – MalaysiaGazette