KUCHING – Kerajaan tidak kisah tindakan tegasnya terhadap sentimen 3R iaitu raja, agama dan kaum menyebabkan Indeks Kebebasan Media Reporters Without Borders (RSF) semakin menurun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hari ini menentang perkauman dan ketaksuban agama yang boleh mengancam kesejahteraan rakyat dan keharmonian agama.
“Melindungi hak kumpulan majoriti dan minoriti di negara ini lebih utama berbanding kedudukan (ranking) antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan Kementerian Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut Anwar, seandainya kerajaan membenarkan perkauman, fasisme atau ketaksuban agama berkembang, maka kemungkinan ketidakharmonian agama berlaku.
Baru-baru ini Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF) berbanding tangga ke-73 tahun lepas.
Kedudukan Malaysia kini menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.
Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).
Mengulas lanjut, Anwar juga menegaskan tidak akan berkompromi berhubung pendiriannya mengenai kepentingan kebebasan media.
“Kita tidak menyekat kebebasan media sebaliknya kita mesti membenarkan ruang itu, jika tidak ia bukan demokrasi yang matang. Jika tidak, tiada karya-karya politik yang agung.
“Akan tetapi di manakah kita harus letakkan sempadan? Sebab itu pentingnya kod etika media yang akan mengatasi faktor kawalan luaran termasuk kerajaan atau pemilik media,” ujarnya.
Katanya, sesiapa saha boleh membincangkan 3R tetapi dalam bentuk wacana ilmiah.
“Wacana tidak mengapa, bukan menakut-nakutkan bukan yang merosakkan atau penghinaan, itu tidak boleh,” katanya. – MalaysiaGazette