Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Tujuh individu, termasuk dua pengarah syarikat dan seorang ahli perniagaan, yang disyaki terlibat dalam penjualan ubat titis mata palsu ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan di Shah Alam dan Klang Selangor pada 21 dan 22 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 18 kotak produk mata pelbagai jenama, empat bungkusan produk rawatan mata pelbagai jenama, monitor komputer, sebuah laptop dan sebuah telefon bimbit.

“Hasil serbuannya membawa pasukan serbuan kepada tangkapan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 38 tahun.

“Dua daripada suspek yang ditahan adalah pengarah syarikat, manakala baki dua yang lain adalah pegawai pemasaran dan ahli perniagaan yang disyaki terlibat dengan penjualan produk kesihatan palsu sebagaimana yang dilaporkan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, pihaknya turut mengadakan serbuan susulan di Kalng  pada 24 Mei lalu bagi menjejaki saki baki mereka yang disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan dengan tiga lagi individu ditahan melibatkan seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 33 hingga 51 tahun.

“Pemeriksaan ke atas tiga suspek itu turut membawa kepada rampasan enam kotak produk rawatan mata, satu kotak cermin mata, seunit printer, seunit label pencetak, dua gulung kertas cetak mesin pencetak dan tiga unit telefon bimbit.

“Berdasarkan laporan yang diterima, sindiket ini didakwa telah menggunakan gambar dan video pengadu yang juga merupakan seorang pakar perubatan terkenal bagi mempromosikan produk kesihatan sindiket tersebut.

“Perkara ini hanya diketahui pengadu apabila beliau dihubungi oleh beberapa individu lain bagi mendapatkan pengesahan tentang kesahihan produk yang diiklankan itu,” ujarnya.

Ramli berkata, pengadu mengesahkan bahawa produk kesihatan tersebut tiada kaitan dengan syarikatnya dengan bahan promisi itu bertujuan untuk memperdayakan orang ramai.

Katanya, empat individu yang ditahan dalam serbuan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua individu warga asing yang ditahan dalam serbuan susulan dibenarkan reman selama empat hari sementara warga tempatan yang ditahan direman direman tiga hari sehingga hari ini.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette