Kok Chin menunjukkan dadah bernilai RM4.6 juta yang dirampas pihaknya di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis merampas dadah bernilai RM4.6 juta selepas menahan seorang lelaki yang bergerak secara solo dalam kegiatan memproses serta mengedar bahan terlarang itu di tepi jalan Cangkat Sungai Ara, Bayan Lepas, pada Jumaat lalu.

Tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 38 tahun itu turut membawa kepada penemuan enam pucuk pistol bersama 100 butir peluru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek ditahan pada jam 5.30 petang ketika berada dalam sebuah kereta di tepi jalan Cangkat Sungai Ara namun tidak menemui sebarang barang salah.

Jelasnya, berpandukan maklumat suspek, polis menyerbu sebuah rumah tiga tingkat di kawasan berhampiran pada jam 7.20 malam yang dijadikan makmal memproses dan stor simpanan dadah.

“Hasil pemeriksaan kita membawa kepada rampasan 42 bungkusan berisi heroin seberat 13.83 kg, plastik berisi serbuk kafein (93.87kg) ketulan mampat disyaki heroin base (376 gram) dan pelbagai peralatan pemprosesan dadah.

Enam pucuk pistol serta 100 butir peluru turut dirampas dalam serbuan tersebut.

“Susulan itu, kita menyerbu sebuah pangsapuri di Persiaran Batu Uban pada keesokan hari jam 3.10 petang yang turut dijadikan tempat penyimpanan dadah.

“Dalam serbuan itu, kita merampas syabu seberat 46.19 kg, 91 ketulan mampat disyakit heroin base (33.76kg), serbuk kafein (24.14kg) dan botol berisi cecair kimia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Turut dirampas enam pucuk pistol dan 100 butir peluru yang diletakkan dalam sebuah beg galas.

Tambah Kok Chin, hasil siasatan mendapati suspek belajar memproses dadah daripada YouTube serta menghubungi kenalan bagi bertanyakan ‘resepi’ serta cara memasak bahan itu.

Kesemua dadah itu untuk pasaran Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Katanya, selain itu, suspek juga aktif dalam kegiatan ini sejak Januari lalu dan dadah tersebut bagi pasaran sekitar utara termasuk Pulau Pinang dan Lembah Klang.

“Suspek yang juga pengganggur bertindak sebagai ‘bos’ dalam sindiket ini yang mana dia menjadi ‘tukang masak’ dan pembungkus serta menghantar sendiri kepada pelanggan.

“Dia dipercayai hidup mewah dengan hasil jualan dadah dan kita juga akan siasat mengenai dua rumah mewah yang dibeli di Pulau Pinang dan Rawang, Selangor bernilai RM550,000 setiap satu yang didaftarkan atas nama isterinya.

“Secara keseluruhan nilai rampasan dadah dan aset berjumlah RM5.06 juta dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette