KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, terus meningkat sebanyak 1.9 peratus pada April 2024 berbanding peningkatan 1.6 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada April 2024.
Sektor perlombongan terus meningkat 10.0 peratus (Mac 2024: 8.3%), disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (12.3%) dan pengekstrakan gas asli (3.5%).
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan juga meningkat 5.4 peratus (Mac 2024: 5.5%), dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan masing-masing naik sebanyak 9.2 peratus dan 2.9 peratus.
Pada masa yang sama, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan perlahan 0.8 peratus (Mac 2024: 0.6%) disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (8.9%).
Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik & gas meningkat 1.0 peratus, manakala indeks bekalan air mencatatkan peningkatan 7.2 peratus.
Beliau berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.5 peratus berbanding 1.6 peratus pada Mac 2024.
Sektor perlombongan meningkat 2.1 peratus (Mac 2024: 2.3%), disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (2.7%) dan pengekstrakan gas asli (0.4%).
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan juga meningkat pada kadar lebih perlahan 0.7 peratus berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks Penanaman tanaman kekal (1.3%).
Selain itu, sektor pembuatan naik perlahan 0.3 peratus (Mac 2024: 1.3%) disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (1.4%) dan pembuatan produk makanan (1.6%).
Sementara itu, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air masing-masing naik 0.3 peratus dan 1.1 peratus.
Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia berlegar melebihi RM4,000 setiap tan berikutan lonjakan harga minyak mentah, di tengah-tengah peningkatan harga minyak pesaing.
Harga buah tandan kelapa sawit juga terus meningkat sejak awal 2024, membawa kepada pertumbuhan positif dalam sektor Pertanian, perhutanan & perikanan.
Selaras itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan harga MSM lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya, dengan harga purata antara RM3,900 hingga RM4,200 setiap tan.
Menurut MPOB, antara faktor yang mempengaruhi pengukuhan harga purata MSM tahun ini adalah bekalan minyak sawit yang dijangka terhad di dunia berikutan pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia.
Kesannya, minyak sawit menjadi pilihan yang kurang menarik bagi negara pengimport kerana harganya yang lebih tinggi berbanding minyak bunga matahari.
Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 7.4 peratus pada April 2024, sama seperti bulan sebelumnyadisebabkan oleh indeks bahan bukan makanan (9.0%).
Indeks barang siap meningkat 2.4 peratus (Mac 2024: 1.9%), disebabkan oleh peningkatan dalam indeks kelengkapan modal (4.8%), sebaliknya indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen terus turun negatif 0.1 peratus (Mac 2024: -0.4%), dipengaruhi oleh indeks Bahan api yang diproses & pelincir (-9.6%).
Pada asas bulanan, semua indeks menunjukkan peningkatan pada bulan ini.
Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 0.7 peratus, manakala indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen dan Barang siap masing-masing meningkat 0.5 peratus dan 0.4 peratus. – MalaysiaGazette