SHAH ALAM – Empat Pembantu Penguasa Kastam dituduh  serentak di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima suapan sebagai dorongan tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat yang membawa barang keluar dari kawasan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Rahi Shamudin Ishak berhadapan paling banyak pertuduhan iaitu 42.

Berdasarkan pertuduhan, Rahi, 51, antara 1 Disember 2017 hingga 4 April 2023 sebagai ejen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memperoleh RM32,300 daripada pemilik Kalos Enterprise, J. Jehatis menerusi pindahan ke akaun bank.

Wang tersebut diterimanya sebagai dorongan tidak memeriksa lori milik syarikat tersebut keluar dari Kargo KLIA.

Selain itu Mat Hafizan Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan yang sama apabila telah menerima RM1,200 secara keseluruhan pada 3 Julai, 28 Ogos dan 12 Disember 2020 bagi perbuatan yang sama.

Dalam masa yang sama, Mohd Sufian Hashim turut membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuhan yang didakwa dilakukannya  pada 30 Jun 2018 dan 24 April 2023.

Beliau pada waktu itu dituduh telah menerima RM1,250 daripada J. Jehatis sebagai dorongan untuk  perbuatan yang sama.

Sementara itu, Mohd Shahremy Ahmad Damanhuri, 40, hanya berdepan dengan satu pertuduhan yang sama.

Ketika pertuduhan dibacakan, Shahremy mengaku tidak bersalah menerima RM5,000 pada 4 Mei 2018 daripada individu yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Hakim, Datuk Anita Harun kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada Rahi, RM10,000 untuk Mat Hafizan dan masing-masing RM8,000 bagi Mohd Sufian dan Shahremy.

Keempat-empat pembantu penguasa Kastam itu juga diperintah untuk menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sekali setiap bulan.

Kesemua tertuduh berkenaan juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan kes terhadap keempat-empat mereka.

Sebagai rekod, empat tertuduh tersebut antara 23 anggota Kastam yang ditahan menerusi Ops Samba 2.0 baru-baru ini.

Operasi yang dilaksanakan bermula 11 Mac dan berakhir 25 Mac lepas menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di bahagian Kargo KLIA yang akhirnya telah berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion. -MalaysiaGazette