Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto MUHD NA’IM, 20 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – “Sesungguhnya Malaysia sudah jadi contoh demokrasi di mana mulut rakyat diberi kebebasan menutup”.

Demikian sindiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi kenyataan, beliau menyifatkan antara kebebasan yang terdapat dalam negara ialah untuk tidak bersuara melainkan waktu makan sahaja.

“Tidak bersuara menjadi hak istimewa rakyat Malaysia. Ia menyumbang kepada keselamatan, kestabilan, keamanan negara,” katanya.

Beliau mendakwa rakyat tidak berhak untuk menyuarakan sebarang teguran sekiranya undang-undang negara dicabul.

“Jika tekanan dilakukan rakyat berhak tidak menyuarakannya. Jika ketidakadilan berlaku hak rakyat ialah menutup mulut supaya negara stabil dan aman. Jika tuduhan yang tidak berasas dilafaz rakyat berhak tidak mempertahan diri,” tambahnya.

Katanya lagi, rakyat bebas untuk tidak bersuara tentang perbicaraan atau perbincangan yang dilakukan secara rahsia.

“Dengan tidak membantah perbicaraan secara rahsia kes-kes, keadilan akan tercapai dan Negara terus aman dan makmur,” katanya lagi.

Sebagai rekod, dua anak Dr Mahathir iaitu Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani pada Januari lalu diberi notis untuk mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya belum menerima notis pengisytiharan harta kedua-dua anaknya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pihaknya ada berbincang dengan peguam kepada Mirzan dan Mokhzani mengenai tempoh pengisytiharan.- MalaysiaGazette