Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan  memberi peluang kedua kepada kepada pelajar yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023.

Kegagalan seramai 10,160 orang daripada 383,685 calon SPM  tidak menduduki peperiksaan seperti diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan disifatkan sebagai satu yang mengejutkan.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat, Dr.Sathia Prakash Nadarajan berkata, kerajaan khususnya perlu mengambil serius perkembangan terbaharu itu dan mencari tindakan penyelesaian segera.

Katanya, pengumuman keputusan SPM 2023 menyaksikan ramai pelajar seluruh negara bergembira dengan pencapaian cemerlang tetapi di sebaliknya, pendedahan bilangan pelajar yang tidak hadir peperiksaan penting itu juga mengejutkan.

“Dalam isu berkaitan, saya menyarankan agar kementerian Pendidikan khususnya memberi peluang kedua kepada kesemua pelajar tidak hadir itu untuk menduduki semula peperiksaan tersebut dan harap ia dipertimbangkan segera tanpa berfikir panjang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dr. Sathia Prakash Nadarajan

Tambah Pengerusi Pakatan Harapan Cabang Hulu Selangor itu , KPM perlu mewujudkan pasukan untuk melihat punca dan faktor yang menyebabkan calon-calon SPM itu tidak hadir menduduki peperiksaan.

Justeru segala aspek harus diteliti kenapa pelajar itu tidak hadir termasuk faktor latar belakang keluarga, aspek kesihatan, kesempitan hidup mereka.

“Saya berpendapat dan mencadangkan kepada pihak KPM agar kesemua pelajar yang tercicir itu diberi peluang kedua menduduki peperiksaan itu semula kerana SPM tiket penting untuk mereka melangkah ke peringkat seterusnya dalam alam pendidikan tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette