KUALA LUMPUR – Minyak masak paket bersubsidi yang dikhaskan untuk warga tempatan, dipercayai dijual oleh warga asing yang mendiami kawasan penempatan haram di sekitar Sentul.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mendapat serbuan ke atas penempatan haram tersebut terdapat lima buah kedai runcit yang menjual barangan seperti beras, mi segera dan barangan lain.
“Apa yang jelas semasa pemeriksaan tadi, kita dapati, mereka menjual sirih, kapur dan pinang dalam jumlah yang banyak,” katanya ketika Ops Kutip malam tadi.
Selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am, (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut membuat pemeriksaan ke atas 124 orang warga asing yang terdiri daripada Myanmar, Indonesia dan India.
Katanya, warga asing tersebut dikatakan membayar sewa kira-kira RM400 sebulan daripada seorang lelaki warga tempatan untuk menduduki kawasan tersebut.
Tambah beliau, terdapat juga antara mereka yang bekerja di luar dan pulang ke kawasan tersebut selepas habis bekerja.
“Kesemua mereka akan dibuat dokumentasi dengan semua rekod yang diambil untuk kita tahu berapa ramai yang kita akan tahan,” katanya.
Beliau menambah, sebahagian warga asing dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
“Kesalahan yang kedua adalah di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Kerjasama antara pihak PGA, Imigresen dan PBT akan diteruskan untuk menangani isu kebanjiran warga asing di ibu kota,” katanya. – MalaysiaGazette