11 PATI cuba menyusup keluar di Pantai Tanjung Rhu. Foro Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Cubaan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Myanmar menyusup keluar secara haram di Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey, Telok Panglima Garang, Selangor berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, DSP Mohd Sufian Amin berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 12.30 pagi tadi selepas menemukan enam warga Indonesia dan lima warga Myanmar sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari pos Pulau Carey serta anggota Rela telah bergegas ke lokasi terbabit. 

“Hasil pemeriksan terdapat dua lelaki, empat wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan yang berusia lingkungan 7 tahun hingga 51 tahun didapati gagal mengemukan sebarang dokumen perjalanan diri.

“Hasil soal siasat ke atas kesemua PATI terbabit, mereka mengaku ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut).” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, kesemua PATI terbabit ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalana yang sah.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Tambah Mohd Sufian, kesemua PATI telah direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Banting, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. – MalaysiaGazette