Hannah Yeoh.- Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari pembangkang mendesak supaya Kerajaan Negeri membatalkan pemberian kontrak kepada syarikat milik suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

ADUN Jeram Datuk Seri Harisson Hassan berkata, pemberian kontrak tersebut memberikan persepsi negatif kepada rakyat.

“Amalan ini secara langsung telah menimbulkan persepsi penyalahgunaan kuasa dan nepotisme apabila syarikat milikan ahli keluarga seorang menteri diberikan kontrak rundingan terus dalam perolehan tender bernilai RM25 juta ini.

“Saya turut kecewa dengan pandangan dangkal, naif dan tidak jujur sesetengah pihak yang mempertahankan keputusan ini dengan tanggapan bahawa kononnya kedudukan Yang Berhormat Hannah Yeoh tidak mempunyai kaitan dengan pelantikan syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pelantikan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT)  (DRT).

Asia Mobility dimiliki dan diuruskan oleh Ramachandran Muniandy yang merupakan suami kepada Hannah.

Harisson berkata, kenyataan yang dikemukakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han pada 24 Mei lalu tidak menjawab sepenuhnya persoalan mengenai wujudnya amalan nepotisme, sekali gus mempamerkan kegagalan dalam mendukung semangat integriti seperti yang disarankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah bertarikh 7 Februari lalu.

“Isu pokok yang menimbulkan pertikaian umum adalah bagaimana kelulusan yang diperoleh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh digunakan sebagai justifikasi pelantikan ini, sedangkan APAD bernaung di bawah Menteri Pengangkutan yang sepasukan dengan YB Hannah baik dari segi kebersamaan dalam Kabinet mahupun keahlian dalam parti DAP.

“Demi menuntut pentadbiran yang bersih, berintegriti dan bebas daripada konflik kepentingan saya menyeru kerajaan negeri Selangor khususnya YB Ng Sze Han yang juga dari parti DAP agar menarik semula keputusan pelantikan Asia Mobility sebagai syarikat pengendali perkhidmatan DRT di bawah inisiatif Mobiliti Selangor,” katanya.

Beliau turut menggesa agar tender tersebut dibuat secara terbuka bagi keadilan kepada semua syarikat pengendali perkhidmatan yang berkelayakan.

Ini sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari lalu yang menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan mengamalkan lagi rundingan terus dalam mana-mana perolehan kerajaan.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan sudah melakukan siasatan interim berhubung isu pemberian kontrak projek DRT.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata justeru itu, pihaknya memutuskan bahawa tiada kes dalam isu itu.-MalaysiaGazette