KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON95 bagi tempoh 30 Mei hingga 5 Jun kekal pada paras RM2.05 seliter.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata, harga bagi RON97 juga kekal pada paras RM3.47 seliter manakala harga runcit diesel adalah RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, Kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” kata MOF.

Menurut kementerian itu, kerajaan juga  akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – MalaysiaGazette