Pemain Malaysia, Darren Yee Deng Lok meraikan gol pertama semasa menentang pasukan Singapura, pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya terus tempang apabila seorang lagi penyerang negara, Darren Lok disahkan mengalami kecederaan sekali gus memberi situasi serba tidak menjadi buat pengendalinya, Kim Pan-gon.

Berikutan itu, jurulatih dari Korea Selatan itu terpaksa memanggil pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin mengisi kekosongan bagi menghadapi dua aksi penting berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan pada 6 dan 11 Jun ini.

Menurut Pan-gon, dia terpaksa menggugurkan Lok yang disahkan mengalami masalah hamstring.

“Shamie menggantikan Darren Lok dari Sabah FC yang hadir melapor diri, semalam. Tetapi terpaksa dilepaskan (Darren Lok) hari ini selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan hamstring.

“Semoga Darren cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata Pan-gon di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia di sini.

Pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin. Foto FB FAM.

Sebelum ini, kem negara kehilangan khidmat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai latihan akibat kecederaan.

Tempat Syafiq digantikan tonggak tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya, yang sebelum ini turut berada dalam senarai menunggu.

Sebelum itu, tiga pemain utama di saingan Piala Asia Qatar Januari lalu terpaksa disingkirkan iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romes Morales yang mengalami kecederaan.

Ketika ini skuad negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek dan Taiwan di Bukit Jalil. – MalaysiaGazette