Sate disimpan dalam peti sejuk yang dipenuhi kulat antara situasi yang ditemui di lokasi serbuan.

BUKIT MERTAJAM – Sate disimpan dalam peti sejuk yang dipenuhi kulat, tempe yang sedang goreng pula diletakkan dalam bekas di atas lantai basah.

Itu situasi sebuah kediaman warga asing yang dijadikan tempat memasak makanan ala Indonesia bagi sebuah gerai ketika Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melakukan pemeriksaan menerusi Ops Gempur Aedes di Kampung Dock, Juru, di sini, hari ini.

Lebih menjijikkan apabila tinjauan pemberita di lokasi tersebut mendapati satu bungkus plastik dipenuhi ratusan ulat maggot dilihat kurang 10 meter daripada tempat memasak warga asing tersebut.

Ratusan ulat maggot ditemui dalam beg plastik yang didakwa mengandungi sisa makanan tidak terjual bagi tempoh kurang 12 jam.

Bagaimanapun, warga asing berkenaan mendakwa bungkusan itu mengandungi sisa makanan yang tidak habis dijual semalam.

Selain itu, pemeriksaan dalam peti sejuk mereka turut mendapati makanan yang telah siap diproses disimpan bahan mentah serta sisa baki makanan yang tidak terjual.

Difahamkan, warga asing berkenaan menjalankan perniagaan berasakan makanan negaranya sejak lima tahun lalu bersama anak-anaknya di sebuah gerai yang terletak 300 meter dari kediaman mereka.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Vektor JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya akan memaklumkan penemuan itu kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) untuk tindakan lanjut susulan bimbang cara penyediaan makanan itu berisiko berlakunya keracunan makanan.

Tempat memasak sama dengan lokasi warga asing tersebut cuci bahan mentah.

“Kebetulan ketika buat pemeriksaan Aedes jumpa cara penyediaan makanan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan sebagai pegawai dalam Jabatan Kesihatan kami tidak boleh pejam mata.

“Meskipun ia di luar bidang kuasa saya, namun perkara ini akan dipanjangkan kepada BKKM agar tindakan lanjut diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Ops Gempur Aedes Wazir berkata, sebanyak tujuh notis kompaun dikeluarkan membabitkan empat warga tempatan serta tiga warga asing berjumlah RM3,500 dalam serbuan di Kampung Tok Konan, Machang Bubok serta Kampung Dock di Juru di sini.

Mohd Wazir.

Jelas beliau, serbuan adalah berdasarkan kepada lokaliti hotspot dan lokaliti wabak tidak terkawal yang dilaporkan bermula awal tahun sehingga semalam.

“Sebanyak 27 kes denggi dilaporkan di Kampung Tok Konan dengan tempoh wabak selama 63 hari manakala bagi Kampung Dock pula, enam kes serta tempoh wabak sudah memasuki sebulan.

“Antara lokasi penemuan pembiakan aedes penemuan termasuk dalam kasut getah, penutup tong cat serta atas tikar getah terbiar lokasi di luar premis masing-masing,” katanya.

Tambah Mohd Wazir, tindakan pihaknya melakukan pemeriksaan bukan bertujuan menghukum namun bagi mencegah serta mengawal kes demam denggi.

Mohd Wazir menunjukkan jentik-jentik yang ditemui pihaknya di sebuah kediaman warga asing di Kampung Tok Konan, Machang Bubok di sini.

“Kita (penguat kuasa) berdepan pelbagai kekangan termasuk di maki hamun ketika melakukan pemeriksaan di kediaman serta premis.

“Namun demi kesejahteraan serta kesihatan masyarakat kami meneruskan tanggungjawab serta peranan dalam memberi kesedaran kepada merka berkaitan kes denggi ia termasuk meminta orang awam agar membersihkan persekitaran kediaman, premis bagi mengelak pembiakan aedes,” katanya. – MalaysiaGazette