Namron.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah berpengalaman Nam Ron, 55, memberi nasihat kepada anak-anak muda yang gagal mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar jangan cepat putus asa,

Sebaliknya, Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan berkata, golongan itu perlu mempelajari kemahiran tertentu agar boleh digunakan sebaiknya dalam apa juga pekerjaan diceburi.

“Anak-anak, jangan putus asa hanya kerana keputusan SPM teruk. Belajar kemahiran kerana dengan skil, kamu boleh berjaya dalam pekerjaan.

“Apa yang paling penting harus punya minat yang mendalam,” katanya.

Nam Ron yang memegang diploma dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkongsi dia sendiri tidak berjaya beri yang terbaik dalam SPM.

“SPM saya teruk 1A pun tak ada. Dapat sambung diploma pun kerana ada kekosongan (kerana ada calon yang sudah terpilih tarik diri).

“Beberapa tahun lepas, habis diploma saya dianugerahkan graduan cemerlang,” katanya.

Kelmarin seramai 11,713 calon SPM 2023 atau 3.1 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dipetik berkata, angka itu menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding tahun sebelum ini iaitu 10,109 calon atau 2.7 peratus.

Seramai 226,358 daripada 373,255 calon baharu SPM 2023 pula lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 57.1 peratus atau 213,624 calon pada 2022. – MalaysiaGazette