Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bergambar bersama penaja ketika hadir ke sidang media Kejohanan Golf Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 MEI 2024.

PETALING JAYA – Selangor bakal menganjurkan dua kejohanan golf pada bulan Jun ini.

Ia melibatkan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor bermula 13 hingga 15 Jun dan  PKNS Selangor Masters diadakan bermula  19 hingga 22 Jun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran kejohanan tersebut merupakan komitmen kerajaan negeri ini untuk menyediakan platform kepada bakat muda terus bersaing sekali gus membangunkan sukan golf pada semua peringkat.

“Yang terbaik akan dipilih dan akan ditaja oleh Kerajaan Negeri Selangor memasuki  Sekolah Antarabangsa Melaka UUM.

Dalam kejohanan sama, juara kategori individu lelaki diberi peluang menyertai PKNS Selangor Masters untuk bersaing dengan kejohanan profesional.

Menurut Amirudin, dijangka seramai 100 pemain dari 12 negara bakal berentap pada Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya.

Antara negara yang menyertai kejohanan ini adalah Thailand, China, Taiwan, Australia, Bangladesh dan banyak lagi.

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan penganjur serta penaja Kejohanan PKNS Selangor Masters untuk tahun ketiga selain penaja utama, Gamuda Land.

Pemenang PKNS Selangor Masters bakal membawa pulang hadiah keseluruhan AS$175,000 serta mendapat merit Asian Development Tour.

Selain itu, 10 pemain terbaik pada akhir musim akan mendapat kad Asian Tour bagi tahun depan.- MalaysiaGazette