KUALA LUMPUR – Sebanyak 63 saman telah dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya selepas memeriksa 53 individu dan motosikal di Lebuhraya SUKE, 28 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superitendan Nazaruel Ekram Abu Saare berkata, saman yang dikeluarkan adalah di atas kesalahan-kesalahan lazim iaitu tiada lesen memandu, lessen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi, ubah suai ekzos dan juga pelbagai kesalahan-kesalahan lain.

Turut disita sebanyak enam buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

Lima daripadanya adalah motosikal yang ditunggang oleh warga asing dan sebuah motorsikal kerana kesalahan pengubahsuaian ekzos.

Kenderaan yang disita ini dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut, kata Nazaruel Ekram. – MalaysiaGazette