Tangkap layar video media sosial memaparkan sekumpulan penyokong dipercayai memukul seorang lelaki ketika perlawanan bola sepak antara antara unit Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (MPKL) dan Pasukan Khas Laut (Paskal) di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, Isnin lalu. Foto Media Sosial

LUMUT – Seorang anggota tentera cedera di muka, kepala dan beberapa bahagian badan selepas dipercayai dipukul sekumpulan penyokong dalam perlawanan bola sepak, Isnin lalu.

Kejadian berlaku pada perlawanan antara unit Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (MPKL) dan Pasukan Khas Laut (Paskal) di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 26 tahun sedang menonton perlawanan bola sepak tersebut sekitar jam 7.15 malam.

“Ketika mangsa sedang melihat perlawanan bola di antara unit MPKL dan Paskal, tiba-tiba pihak penyokong Paskal telah memukul mangsa beramai-ramai.

“Kumpulan lelaki terbabit bertindak memukul mangsa selepas dipercayai tidak berpuas hati dan menuduh mangsa menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.

“Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala serta menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di sini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada Selasa kira-kira jam 12.53 tengah hari.

Katanya, kes diklasikfikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-572 9646 bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 17 saat memaparkan insiden sekumpulan lelaki memukul seorang lelaki di perkarangan Stadium TLDM di sini.  – MalaysiaGazette