Gambar hiasan

ISNIN lalu, keputusan SPM 2023 telah diumumkan dan 11,713 daripada 373,525 calon berjaya meraih hasil yang cemerlang iaitu gred A, A serta A- dalam semua mata pelajaran menjadi topik utama di media sosial dan dada akhbar. Ramai yang mengangkat cerita orang cemerlang dalam pelajaran, tapi orang yang tidak cemerlang, disisihkan dan tidak mendapat tempat di mata masyarakat.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penamat penentuan masa depan tetapi ia merupakan titik perubahan bagi setiap individu sama ada mengambil keputusan untuk melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi atau sebaliknya. Bagi pelajar yang tidak mendapat keputusan yang baik, ianya telah dipandang remeh oleh sesetengah masyarakat kita, sudah la gagal, masyarakat pula memandang sepi dan tidak
memberikan harapan kepada mereka.

Seolah-olahnya jika kamu gagal dalam pelajaran, kamu gagal dalam hidup. Dipandang seperti sampah masyarakat. Sadisnya bagai kaca terhempas ke batu. Stigma ini perlu diubah. Sepatutnya orang yang tidak bernasib baik dalam pelajaran, diberikan galakan dan harapan agar mampu bangkit semula daripada kegagalan.

Gagal dalam keputusan SPM bukanlah satu penghujung segalanya, sebaliknya ia hanyalah satu rintangan kecil yang perlu ditempuhi dalam perjalanan mencapai kejayaan akademik. Keputusan yang mungkin mengecewakan itu tidak semestinya menandakan akhir dari impian pelajar untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya ia merupakan satu titik permulaan untuk mencari jalan alternatif.

Perasaan kekecewaan dan sedih mungkin melanda apabila tidak menerima sebarang tawaran daripada UPU, tetapi ingatlah, kegagalan itu bukanlah penamat perjalanan. Masih banyak peluang yang boleh dieksplorasi dan jalan lain yang boleh ditempuhi. Ini adalah saat yang sesuai untuk merefleksi, memperbaiki kelemahan, dan bersedia untuk mencuba lagi.

Jika pintu UPU tertutup pada tahun ini, jangan putus asa. Teruskan usaha anda, terokai pelbagai alternatif yang ada, dan berikan yang terbaik dalam setiap langkah yang diambil. Mungkin masa depan terbaik anda terletak di luar sana menantikan kesungguhan dan ketekunan anda. Jadi, terimalah kegagalan menerima tawaran dari UPU sebagai satu cabaran yang menjadikan anda lebih kuat dan bersemangat untuk terus berusaha.

Ingatlah, kejayaan sejati adalah hasil daripada ketekunan, kesabaran, dan keyakinan yang tidak pernah padam. Kegagalan adalah sebahagian dari proses belajar dan tumbuh semula. Gagal dalam SPM hanya bererti mungkin belum tiba saatnya atau ada jalan lain yang lebih baik menanti. Jangan pernah menyerah dan tetaplah percaya pada diri sendiri. Setiap kegagalan adalah kesempatan untuk belajar dan berkembang. Ada yang sudah berfikir mahu melanjutkan pelajaran, ada juga berhasrat untuk sertai kursus kemahiran sahaja, namun perlu diingatkan bahawa setiap keputusan seharusnya dilakukan dengan rapi.

Terdapat beberapa pilihan lain selain melanjutkan pengajian di peringkat UPU seperti kursus kemahiran dalam TVET. Kursus ini dianggap lebih baik daripada belajar di universiti. Pertama sekali, latihan praktikal yang diberikan dalam kursus TVET membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran secara langsung dalam persekitaran sebenar industri, memberi mereka pengalaman yang sangat berharga. Selain itu, kursus TVET sering kali lebih terfokus pada bidang kemahiran tertentu, membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan mendalam dalam bidang yang mereka minati.

Tambahan pula, graduan dari program TVET sebelum ini biasanya lebih dicari oleh majikan kerana mereka telah dilatih dengan kemahiran praktikal yang relevan untuk industri tertentu. Oleh itu, walaupun belajar di universiti mempunyai kelebihannya tersendiri, kursus kemahiran dalam TVET juga mempunyai banyak faedah yang tidak boleh diabaikan.

Memang benar pembelajaran kemahiran dalam TVET merupakan pembelajaran seumur hidup yang memberi tumpuan kepada latihan praktikal yang relevan dengan dunia kerja. Kemahiran yang dipelajari dalam TVET memberi peluang kepada individu untuk mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah kerana mereka telah dilatih dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Di sisi lain, walaupun belajar di universiti memberi peluang untuk mendalami ilmu dan teori yang penting, namun ia tidak menjamin pekerjaan kerana kekurangan latihan praktikal yang diperlukan oleh majikan. Oleh itu, adalah penting untuk mencari keseimbangan antara teori dan praktikal agar dapat bersaing dalam pasaran kerja yang serba kompetitif.

Kesimpulannya, kedua-dua pendekatan pembelajaran ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Yang penting adalah untuk memilih pendekatan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan dan matlamat kerjaya individu, serta sentiasa terbuka untuk pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira di mana sumber ilmu itu diperoleh. Dalam kehidupan ini sebenarnya ada banyak titik perubahan yang boleh memberi peluang baharu dan ia memainkan peranan yang sangat penting dan besar dalam menentukan hala tuju hidup.

Terdapat tips untuk kita mengenali jurusan yang yang sesuai untuk kita pilih :
a) Kenali Minat dan Kekuatan diri
Tinjau minat dan kemahiran anda. Apakah subjek yang paling anda sukai dan bidang apa yang anda rasa paling selesa. Ambil ujian minat kerjaya untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang jurusan yang mungkin sesuai dengan anda.

b) Kaji Peluang kerjaya
Teliti Prospek pekerjaan dalam bidang yang diminati. Adakah terdapat permintaan tinggi untuk profesion tersebut di pasaran kerja. Pertimbangkan kestabilan kerjaya dan potensi pendapatan dalam bidang tersebut.

c) Perhatikan kelayakan akademik
Semak kelayakan akademik yang diperlukan untuk memasuki jurusan yang anda minati. Pastikan kita memenuhi syarat-syarat tersebut. Ambil kira juga kemampuan untuk kita menguasai subjek-subjek yang berkaitan dengan jurusan tersebut.

d) Pertimbangkan Gaya Hidup dan Lokasi
Fikirkan tentang gaya hidup yang anda inginkan. Adakah kerjaya tersebut memerlukan anda bekerja di bandar besar, Kawasan luar banda atau boleh bekerja dari rumah. Pertimbangkan juga lokasi universiti menawarkan jurusan tersebut dan kesesuaian persekitaran dengan keperluan anda.

e) Dapatkan maklumat dan nasihat
Bercakap dengan penasihat akademik, guru atau kaunselor kerjaya untuk mendapatkan nasihat dan makluman lanjut. Temui professional dalam bidang yang anda minat dan bertanyakan tentang pengalaman mereka serta cabaran yang dihadapi.

f) Pertimbangkan Fleksibiliti dan Perkembangan Kerjaya
Pilih jurusan yang menawarkan fleksibiliti untuk berpindah ke bidang lain jika perlu. Pertimbangkan juga peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan peluang untuk perkembangan kerjaya dalam bidang tersebut.

g) Periksa Program Universiti
Teliti program dan kursus yang ditawarkan oleh universiti. Pastikan program tersebut mempunyai reputasi yang baik dan menyediakan latihan praktikal atau peluang kerjaya. Semak juga peluang untuk pertukaran pelajar, latihan industri dan sokongan kerjaya yang disediakan oleh pihak universiti.

h) Pertimbangkan kewangan
Fikirkan tentang kos pengajian dan sama ada anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau boleh mendapatkan biasiswa, pinjaman Pendidikan atau bantuan kewangan lain. Pertimbangkan juga pulangan pelaburan (ROI) untuk jurusan tersebut, iaitu berapa cepat anda boleh mendapatkan pekerjaan dan gaji yang mencukupi untuk menampung kos pengajian anda.

i) Personaliti melalui Ujian Psikometrik: Psikometrik membantu pelajar untuk mengenal pasti minat, kekuatan dan kelemahan pelajar. Dengan memahami aspek-aspek ini, pelajar dapat memilih jurusan yang selari dengan minat dan kekuatan mereka yang boleh meningkatkan motivasi dan prestasi akademik. Psikometrik dapat menilai keserasian pelajar dengan jenis pekerjaan yang berkaitan dengan jurusan tertentu.

Peluang untuk pelajar-pelajar lepasan SPM untuk menyambung pengajian dan kenali program-program yang bersesuaian yang ditawarkan oleh seperti UiTM yang akan menganjurkan Program Ekspo Selangkah ke UiTM. Kunjungi Ekspo Selangkah ke UiTM pada 1 dan 2 Jun 2024 bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai program-program yang ditawarkan di UiTM kepada pelajar-pelajar lepasan SPM agar dapat membuat pilihan yang tepat. Pelajar-pelajar juga berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada staf dan pensyarah bagi pilihan kursus yang diminati.

Semua pelajar lepasan SPM diseru untuk mengambil peluang baik ini agar pelajar dapat membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan kursus kelak. UiTM juga telah membangunkan dan menyediakan sistem secara atas talian yang memberikan pilihan kursus yang sesuai berdasarkan pencapaian pelajar. Semakan secara online ini memudahkan pelajar untuk membuat pilihan berdasarkan kelayakan semakan UiTM yang ditetapkan.

Pilihan sama ada pelajar mahu masuk ke asasi UiTM, program sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda, semuanya pelajar boleh gunakan melalui sistem semak syarat kemasukan UiTM. Saya berpegang dengan prinsip ‘Better late than never’.

Intan Syazlina Mohd Ali
Penolong Pendaftar Kanan (Akademik)
Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast