Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada sidang media Kejohanan Golf Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 MEI 2024.

PETALING JAYA – Cukai taksiran di negeri Selangor dinaikan susulan pelaksanaan penilaian semula hartanah.

Bagaimanapun ia tidak melibatkan rumah-rumah kos rendah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penilaian semula perlu dilakukan untuk mengetahui nilai semasa hartanah sesebuah bandar di negeri ini.

“Saya sudah terangkan banyak kali bahawa ini proses penilaian semula, bila ia dibuat maknanya nilai hartanah di sana meningkat.

“Kita ada dasar, contoh rumah kos rendah tidak ada dikenakan cukai. Selepas ini kerajaan negeri perlu menetapkan bila nak dinaikkan atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Seri Selangor.

Menurut beliau, penilaian semula tidak dilakukan sejak 20 tahun dan ia berisiko menjejaskan rancangan pembangunan di negeri ini.

“Sebab apa tidak dibuat? Sebab dulu-dulu termasuk menteri besar sebelum ini tidak benarkan proses penilaian semula.

“(Penilaian semula) Ini penting untuk tahu nilai dan kualiti perbandaran, juga pembangunan. Kita kena tengok rancangan perbandaran betul atau salah… atau stagnant (kekal), kita kena rangka strategi,” ujar beliau.

Kerajaan Selangor menetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini hanya boleh membuat penilaian kenaikan cukai taksiran pada kadar maksimum 25 peratus.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, tiada kenaikan melampau yang membebankan pemilik kediaman dan premis perniagaan seperti didakwa sesetengah pihak terutama pembangkang sebelum ini.

Beliau menyifatkan langkah penyelarasan itu masih wajar dalam usaha PBT memberikan khidmat perbandaran lebih baik pada masa depan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan negeri menaikkan kadar cukai pintu sehingga empat kali ganda berbanding nilai sedia ada.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, cukai tersebut dinaikkan daripada RM191.40 setahun kepada RM429.

Hari ini, Jawatankuasa Bertindak Warga Prihatin Ampang Jaya menyerahkan memorandum memohon supaya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membatalkan kenaikan taksiran di daerah berkenaan. – MalaysiaGazette