Rajesh bersama Ramasamy di Mahkamah KKB selepas membayar wang jaminan sebanyak RM4,000 hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang individu yang didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) 6 Mei lepas didakwa semula di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

Namun, tertuduh, P Ramasamy mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Siti Fatimah Talib.

Peguam mewakili Ramasamy, Rajesh Nagarajan memberitahu MalaysiaGazette, anak guamnya mengaku tidak bersalah dengan tuduhan bahawa dia cenderung  mengembangkan permusuhan antara golongan pengundi dalam PRK baru-baru ini.

Kata Rajesh, mahkamah telah membenarkan anak guamnya diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

“Anak guam saya juga adalah seorang pesara dan tidak berkemampuan untuk membayar jaminan tinggi kerana tidak ada pendapatan tetap sebaliknya dia ditanggung oleh anak-anaknya.

“Hakim benarkan jamin RM4,000 yang sudah dibayar dan sebutan kes pada 19 Jun ini,” katanya.

Sebelum ini, pada 6 Mei lalu, Ramasamy dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret KKB selepas pesara ini mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Namun minggu lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kes Ramasamy dikembalikan semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Wendy Ooi Su Ghee membenarkan semakan kehakiman Ramasamy selaku pemohon terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.

Ramasamy dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Kesalahan itu didakwa bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tindakan itu dikatakan sebagai cubaan mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada PH. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast