Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA – Sebanyak sejuta stok ‘fleet card’ disediakan lima syarikat minyak utama yang terlibat dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubdisi 2.0 (SKDS 2.0) bagi memastikan bekalan kad tersebut sentiasa tersedia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata, ketersediaan kad itu akan dapat mempercepat proses permohonan 410,000 kenderaan daripada 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah SKDS 2.0.

“Kalau dulu di peringkat awal (SKDS), syarikat minyak beri komitmen bahawa pengeluaran ‘fleet card’ boleh dikeluarkan dalam tempoh antara empat dan enam minggu, tetapi kini ada (syarikat minyak) yang keluarkan dalam tempoh kurang tujuh hari.

“Ini akan memudahkan kelancaran proses (pengeluaran ‘fleet card’). Kita anggarkan 410,000 kenderaan akan dapat manfaat daripada SKDS.

“Insya-Allah dengan adanya pendekatan ini, kita yakin dari segi kawal selia SKDS 1.0 dan SKDS 2.0 akan dapat dilaksanakan sehabis baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0, di sini, hari ini

Lima syarikat minyak utama yang terlibat dalam SKDS ialah Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

Sehubungan itu, Armizan menyarankan semua syarikat sektor pengangkutan darat yang layak mendapatkan diesel subsidi di bawah SKDS 2.0 agar tidak menangguhkan permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 dan memohon ‘fleet card’ daripada syarikat minyak.

Ditanya kemungkinan penggunaan hanya satu ‘fleet card’ berbanding tiga ketika ini, beliau berkata bagi peringkat permulaan kerajaan memutuskan untuk menggunakan sistem sedia ada yang disediakan syarikat minyak.

“Pada peringkat awal ini, kita tidak mahu berbelanja untuk sistem baharu. Kita guna infrastruktur sedia ada, jadi ia akan dapat menjimatkan kos kerana sistem ini sudah ada di syarikat minyak. Kita hanya intergrasikan dengan SKDS,” katanya sambil menambah kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya ada cadangan seumpama itu pada masa akan datang.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menjalinkan kerjasama bagi mengintegrasikan sistem berkenaan dengan MySikap yang dikelolakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini mekanisme semakan waktu nyata dengan MySikap dan semakan nombor pendaftaran syarikat melalui SSM tanpa memerlukan pemohon memuat naik dokumen sokongan tambahan,” katanya.

Pada 1 Februari lepas, Armizan dilaporkan berkata SKDS 2.0 yang melibatkan 23 jenis pengangkutan barangan telah bermula bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka diperkenalkan suku kedua tahun ini. – BERNAMA