Sesi Apresiasi Filem : Pagari Bulan (Filem Kita, Budaya Kita : Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) diadakan di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan di UKM, Bangi Selangor.

KUALA LUMPUR – Pelajar Pascasiswazah Seminar Komunikasi Antarabudaya, Pusat Kajian Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Sesi Apresiasi Filem: Pagari Bulan (Filem Kita, Budaya Kita : Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif).

Sesi itu telah sertai lebih 300 tetamu yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pihak penggiat perfileman, ahli akademik dan siswazah bertempat di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan di UKM, Bangi.

Syarikat produksi filem itu, Eleven Field Creative berkata, sesi apresiasi itu menandakan satu komitmen dan usaha berterusan penerbitan Pagari Bulan di mana ia mempunyai objektif utama bagi menggalakkan apresiasi filem kenegaraan dan antara budaya dalam kalangan pelajar memahami kepelbagaian dan keunikan budaya serta adat resam bangsa.

“Melalui tayangan filem kenegaraan, ia juga dapat mengukuhkan jaringan antara universiti dan industri serta memberi peluang untuk pelajar berinteraksi dalam forum ilmiah perbincangan tentang filem patriotisme dan kenegaraan.

“Filem ini adalah sebuah terbitan bergenrekan drama sejarah dalam konteks sejarah kenegaraan Malaysia sekitar perang dunia kedua pada tahun 1941-1945 yang bertemakan ‘Pemerkasaan Wanita’ arahan Ts. Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dengan idea asalnya sendiri bersama Ellyna Ahmad dan skrip ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim,” kata produksi itu.

Filem Pagari Bulan arahan Ts. Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Pagari Bulan diterajui oleh Nazeera Sardi sebagai Bulan serta beberapa orang pelakon lain seperti Aniq Durar, Trisya Ooi, Chelsia Ng, Andy Teh, Alvin Wong dan Michael Ang.

Filem yang telah mendapat suntikan dana sebanyak RM2.5 juta di bawah Dana Kenegaraan FINAS itu ditayangkan serentak di 70 buah panggung di bawah Skim Wajib Tayang pada 5 Oktober tahun lalu termasuk Brunei dan tayangan di Singapura pada 12 Oktober 2023.

Ketika ini, filem ini  sedang dalam penjelajahan ke siri-siri festival antarabangsa untuk tahun 2024 selepas memenangi anugerah filem terbaik di Festival Filem Asia anjuran Freeway international Film Circuit pada December 2023.

Filem ini juga kini berada di bawah perjanjian edaran bersama syarikat Skop Film Production dan dalam proses perancangan dan rundingan bagi pemasaran di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub berkata, dengan mengetengahkan konsep sejarah di dalam filem ianya dapat mengingatkan kita kepada pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu diperjuangkan oleh datuk nenek kita sebelum kemerdekaan dikecapi.

Kata beliau, sesi apresiasi yang dibarisi oleh panel profesional dapat meneruskan pendekatan secara ilmiah dalam kalangan ahli akademik dan industri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut hadir pada n Sesi Apresiasi Filem : Pagari Bulan
(Filem Kita, Budaya Kita : Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif).

Dalam pada itu , Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam ucapan perasmian berkata, setiap hasil seni yang dilahirkan merupakan penyumbang kepada industri kreatif tanah air.

“Filem adalah sebahagian daripada hasil seni yang perlu dihargai dan dihayati intipatinya. Perjalanan menghasilkan sesuatu filem bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi filem yang berlatar belakang sejarah atau masa silam.

“Isu pemerkasaan wanita masih relevan dalam era teknologi yang semakin pesat membangun dan komunikasi tanpa sempadan sehingga ke hari ini,” katanya.

Turut hadir dalam sesi apresiasi tersebut ialah Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta panelis, Dato’ Hj Afdlin Shauki Aksan, Vanidah Imran, Thaaqhib Mohammed dan Dr. Hasrul Hashim. – MalaysiaGazette