Donald Trump. Foto: JUSTIN LANE / POOL / AFP

HOUSTON – Donald Trump didapati bersalah pada Khamis atas kesemua 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan oleh juri New York, menjadikan beliau bekas presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang disabitkan dengan tuduhan jenayah, lapor Agensi Anadolu (AA).

Barisan 12 juri mencapai keputusan mereka selepas dua hari perbincangan, mendapati Trump bersalah memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran wang US$130,000 yang dibuat kepada bintang filem porno Stormy Daniels untuk mengelakkan ceritanya daripada diterbitkan semasa pilihan raya presiden 2016 dan memasukkannya sebagai perbelanjaan perniagaan.

Trump meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan itu sebaik sahaja meninggalkan mahkamah.

“Hak sivil saya telah benar-benar dilanggar dengan keputusan yang tidak adil bermotifkan politik, tidak berperlembagaan dan mengganggu pilihan raya ini. Negara kita yang gagal ditertawakan di seluruh dunia!” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya.

Kini setelah didapati bersalah, Trump perlu meyakinkan rakyat Amerika bahawa beliau layak untuk penggal kedua di Rumah Putih.

Pilihan raya presiden 2024 akan diadakan pada 5 Nov.

Hukuman Trump ditetapkan pada 11 Julai. – Bernama-Anadolu