Anuar ketika bersama delegasi luar negara ketika mengunjungi Galeri Aura Islam di Anjung Neighbourhood Centre, Iskandar Puteri, Johor bersempena dengan kunjungan delegasi luar negara ke galeri itu.

ISKANDAR PUTERI – Menakjubkan dan banyak manfaat,

Demikian ulasan delegasi negara luar tatkala melihat pelbagai koleksi artifak para sahabat baginda Rasulullah SAW dan koleksi Empayar Kerajaan Uthmaniyyah ketika kunjungan ke Galeri Aura Islam di Anjung Neighbourhood Centre, Iskandar Puteri.

Bagi delegasi Algeria, Matene Naima berkata, keunikan artifak yang dipamerkan membolehkan pengunjung menyelami sejarah Nabi Muhammad SAW.

Fared (tengah) ketika menyampaikan ucapan sempena menyambut kedatangan delegasi 12 negara ke Galeri Aura Islam di Iskandar Puteri baru-baru ini.

Beliau memuji kewujudan Galeri Aura Islam itu juga berpandangan, keaslian artifak itu juga memberi gambaran sebenar mengenai sejarah Islam.

“Saya rasa amat teruja apabila melihat artifak di sini, begitu terperinci segala maklumat yang dipamerkan. Semua yang dipamerkan ini menjadikan pengunjung yang melihat pasti teruja dan alhamdulillah ia banyak memberi manfaat kepada saya,” katanya.

Seorang lagi delegasi dari Algeria, Rezkellah Yasmina yang merupakan Pengurus Arkitek Kementerian Pelancongan dan Kraftangan Algeria. rakyat di negara ini bertuah ekoran kewujudan galeri berkenaan.

Katanya, pelbagai ilmu dan informasi boleh diperoleh hasil kunjungan singkat itu.

“Terlalu banyak manfaatnya kepada orang ramai dan juga pelajar sekolah. Banyak rujukan yang mampu kita dapatkan selain lebih memahami dengan lebih dekat berkenaan artifak ini semua,” katanya.

Kedua-dua mereka merupakan antara 15 peserta dari 12 negara yang menyertai di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia untuk mengikuti kursus Muslim Friendly Tourism di negeri ini.

Turut hadir, Exco Johor, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, Pengarah, Bahagian Latihan & Penyelidikan, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nur Alyssa Coraline Yussin selain selebriti Adeep.

Galeri Aura Islam adalah merupakan satu-satunya galeri di benua Asia yang menyimpan, memulihara dan mempamerkan lebih dari 200 artifak asli yang terdiri daripada koleksi Rasulullah SAW dan tamadun Islam dahulu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn Bhd (Manhajj Brothers), Datuk Anuar Hassan berkata, orang ramai bukan sahaja boleh menyelami sejarah keislaman tatkala berkunjung ke galeri itu.

Malah galeri yang wujud lebih empat tahun di kawasan itu menjadi medan ilmu untuk orang ramai terutamanya pelajar sekolah.

Pihaknya giat mengadakan promosi bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung ke galeri berkenaan.

Sementara itu Fared memberitahu, kerajaan negeri akan menjadikan Galeri Aura Islam itu sebagai lokasi pelancongan Islam di Johor.

“Insy-Allah saya akan usulkan perkara ini kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz supaya galeri ini diiktiraf sebagai pelancongan Islam di negeri kita.

“Jika sebelum ini Johor hanya dikenali sebagai lokasi menarik makanan dan pusat beli belah tetapi kali ini insya-Allah Galeri Aura Islam juga bakal menjadi medan baharu pelancongan di negeri kita,” katanya.- MalaysiaGazette