Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kontrak yang diterima oleh suaminya menerusi Kerajaan Selangor.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Hannah dalam masa yang sama mahu melihat kebenaran berhubung isu itu terungkai.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap bukti konsep DRT Selangor. Sekarang siasatan telah bermula saya mahu melihat kebenaran daripada siasatan ini. Malaysia berhak tiada apa yang kurang,” katanya.

Semalam dilaporkan, SPRM menerima beberapa aduan baharu berkaitan isu kontrak yang diterima oleh suami menteri itu, Ramachandran Muniandy yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility).

Asia Mobility adalah salah satu syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Sementara itu, Hannah tidak akan mengulas mengenai isu tersebut kerana tidak mahu menggangu proses siasatan.

“Oleh itu adalah tidak wajar untuk saya mengulas isu ini kerana ia boleh ditafsirkan sebagai menganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Sebenarnya atas sebab inilah saya tidak berkata apa-apa lebih awal kerana pada pandangan saya cara terbaik ke hadapan dalam menangani tuntutan tersebut ialah menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyiasatnya,” tambahnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberikan sokongan terhadapnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menghubungi saya dalam solidariti,” katanya.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang susulan pemberian kontrak terbabit kepada suami Hannah.

Kemudian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga menjelaskan hanya dua syarikat iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd dan Asia Mobility yang mempunyai proof of concept (POC) atau pembuktian konsep daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengendali Projek Rintis Demand-Responsive Transit (DRT).- MalaysiaGazette