Para pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbual mengenai karya mereka di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2024) pada Khamis lepas.

KUALA LUMPUR – Kejayaan penerbitan buku sulung Persatuan Pegawai Pentadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia (PRAGMATIS) berjudul Masak Lomak Cili Api pada tahun lepas telah membawa kepada penerbitan edisi keduanya tahun ini.

Naskhah Rendang Maman Itik Salai (RMIS) yang membawa genre memoir dalam kisah bertemakan motivasi dan inspirasi telah dirasmikan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Menurut Presiden PRAGMATIS, Dr Mohd Helmi Masor @ Mansor, seramai 30 orang penulis telah menyumbang 36 karya penulisan bersandarkan kisah dan pengalaman mereka sepanjang bergelar pentadbir untuk berkongsi dengan para pembaca.

“Kepelbagaian latar belakang bidang tugas dan jawatan telah mencorakkan kisah yang berbeza dan memberikan iktibar kepada pembaca untuk terus belajar dan menimba pengalaman dalam setiap peristiwa yang berlaku dalam alam pekerjaan.

“Buku ini bukan sahaja mengandungi pengalaman kami tetapi juga penuh dengan kisah yang memberi motivasi dan inspirasi dalam kehidupan yang menyeluruh.

“Kami mencabar diri untuk menerbitkan naskhah untuk menyerlahkan keupayaan pentadbir dalam bidang penulisan selain menjadi kesinambungan kepada penghasilan karya berkualiti pada masa hadapan,” katanya yang juga merupakan Timbalan Ketua Pustakawan USIM.

Malah menceburkan diri dalam bidang penulisan ini juga dapat menajamkan lagi kreativiti pentadbir serta melatih diri untuk bekerja di luar kotak.

Bersempena PBAKL tahun ini, USIM telah membawa naskhah terbitan mereka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang boleh dibeli untuk mereka yang berminat bertempat di Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia. – MalaysiaGazette