KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin masih lagi menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam seperti biasa.
Itu jawapan ringkas yang diberikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kedudukan Roslan yang merupakan penjawat awam hingga menimbulkan kontroversi apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa sebarang maklumat berkaitan dengan pelantikan beliau itu. Jadi, saya minta beliau untuk fokus kepada JPNS, melakukan tugas kita biasa…beliau masih lagi pengarah dan masih penjawat awam,” katanya yang merupakan Ketua Wanita PKR.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah ‘Digital Utilisation and Technology’ (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dan melancarkan Pameran MyDigitalMaker Fair (MDMF) 2024 di Pusat Sains Negara di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Wong Kah Woh dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh.
Fadhlina menjawab pertanyaan media berhubung status Roslan di dalam kementeriannya selepas dilantik ke jawatan tersebut di dalam PKR baru-baru ini.
Pelantikan Roslan diumumkan oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil pada Ahad lepas bersama-sama dengan pertukaran beberapa pengerusi negeri yang diputuskan dalam mesyuarat MPP.
Fahmi turut mengumumkan pelantikan bekas pengerusi rombakan Majlis Pimpinan Negeri MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam; Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail dan Roslan sebagai ahli MPP yang baharu.
PKR juga mengumumkan rombakan MPN di tujuh negeri melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan selepas enam negeri lain menerima kepimpinan baharu pada Februari lalu.
Bagaimanapun, pelantikan Roslan dipersoal oleh pembangkang antaranya Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Pembantu Ketua Pembangkang, Ahmad Ikhwan Fadhli.
Afnan Hamimi mempersoal mengenai kewajaran pelantikan berkenaan berikutan semakan di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati Roslan juga individu sama yang memegang jawatan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).
Ahmad Ikhwan pula mempertikai, bagaimana seorang penjawat awam boleh memegang jawatan tertinggi dalam sebuah parti politik.
“Ini memang terang-terang penjawat awam memegang jawatan tinggi dalam parti politik,” katanya.
Beliau seterusnya merujuk kepada surat pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2009 yang melarang penjawat awam kanan menyertai politik secara aktif termasuk memegang jawatan dalam parti politik. – MalaysiaGazette