Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto AIZAT ZAINAL, 7 MEI 2024

SHAH ALAM – Teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam negara perlu diterapkan dengan elemen turath dan tidak hanya bergantung dengan asas kemunculannya dari Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teknologi yang dibangunkan dari luar itu perlu relevan dengan Malaysia sebagai negara Islam yang mengutamakan adab dan akhlak.

“Kalau mahu berjaya kita mesti latih anak kita yang mempunyai kemahiran kepakaran AI untuk memasukkan dan memuatkan khazahah ilmu Islam dan turath dalam korpus (himpunan bahan kajian) AI dan saya kata, kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan AI dan digital ialah kerana nilai pupuk itu adalah nilai Barat. Pemikiran Barat.

“Jadi (dengan penerapan turath) apa yang dilontar oleh robot baharu AI ini adalah berdasarkan ilmu yang dimasukkan kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  menyampaikan ucapan perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin dan Perbualan Khas ‘Imam Nawawi & Riyadhu As-Salihin’ sempena Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turath ialah pengajian kitab ulama silam yang merangkumi adab iaitu sastera Arab, syariah, usuluddin dan akhlak.

Mengulas lanjut, Anwar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana menganjurkan Festival Turath Islami kali yang kedua untuk menghayati ilmu tradisi.

Ujar beliau, penghayatan dan kupasan ilmu turath mengelak penterjemahan  mengikut kepentingan.

“Dunia sekarang ini dunia media sosial, dunia tiga minit. ilmu tiga minit dan baca satu minit. Padahal dalam Islam dan tradisi ilmu akhliyah itu, mesti membaca, menelaah sebelumnya dan menghayati.

“Penghayatan itu tidak mungkin dapat dari lintasan berita satu minit hingga tiga minit, terus jadi alim dengan mengulas dengan rambang,” katanya lagi.

Festival Turath Islami Selangor 2024 yang bertemakan Mendalami Khazanah Kitab Islam bermula sejak Ahad lepas dan berakhir esok.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah, antara pengisian proram lain ialah Pameran Al-Wahyu, forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu akan menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.- MalaysiaGazette