Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa dan sebahagian penduduk ketika sidang media mengenai rayuan 9 keluarga penduduk Kg Sri Makmur tercicir dan penjelasan situasi sebenar berkait isu perobohan di bawah flyover bersebelahan Kampung Seri Makmur, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Sembilan keluarga asal daripada Kampung Sri Makmur, Gombak, dekat sini, yang terlibat dalam perobohan rumah pada Isnin lalu merayu kerajaan negeri Selangor menyediakan penempatan semula.

Pengerusi Badan Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa berkata, mereka merupakan antara keluarga tercicir daripada 21 keluarga asal yang mana permohonan ditolak kerajaan negeri atas alasan tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Sebenarnya bancian pernah dibuat pada 2006 dan 2016 di kampung ini. Mereka ini juga antara tersenarai dalam bancian oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kalau boleh kerajaan sediakan mereka penempatan dan pampasan rumah sebab sembilan keluarga ini adalah golongan tidak berkemampuan yang berpendapatan bawah RM3,000 dan ada yang sakit buah pinggang.

“Kerajaan negeri ada beri pampasan RM1,000 pada penduduk sini tapi pada yang lulus sahaja dan itu bukan pampasan, ia hanya bantuan meringankan beban. Sekiranya pampasan, kerajaan beri 100 peratus bantuan.

“Beri surat tawaran untuk mereka beli rumah dan tunggu proses pinjaman dengan bantuan kerajaan. Sekarang ini, penduduk terima notis pada 24 Mei dan roboh pada Isnin. Tidak sempat mereka nak mencari rumah sewa,” katanya kepada pemberita.

Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa bercakap ketika sidang media mengenai rayuan 9 keluarga penduduk Kg Sri Makmur tercicir dan penjelasan situasi sebenar berkait isu perobohan di bawah flyover bersebelahan Kampung Seri Makmur, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

Sehingga kini, tiada agensi kerajaan negeri yang turun padang untuk mendengar atau melihat situasi sembilan keluarga itu.

Jelas Noora, selepas perobohan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang, kesemua sembilan keluarga itu terpaksa meminta perlindungan daripada Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak.

“Pada sebelah petang selepas rumah mereka diroboh, ada wakil penduduk mendapatkan bantuan dari masjid dan mereka dibawa menginap dua hari satu malam di sebuah hotel berdekatan.

“Pada 29 Mei, pihak masjid ada minta butiran kesemua mangsa ini untuk diisi bagi bantuan penempatan sementara namun pihak masjid telah dimarahi oleh kumpulan lain kerana membantu sembilan keluarga itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noora mendakwa, terdapat tujuh keluarga lain yang berada dalam senarai dikemukakan oleh Pejabat Daerah Daerah dan Tanah (PTG) Gombak bukan dari kumpulan penduduk asal yang diwakilinya.

Bagaimanapun, pihaknya telah mengemukakan rayuan bagi permohonan sembilan keluarga penduduk asal yang tercicir itu kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Noora menggesa kerajaan negeri untuk meneliti semula rayuan sembilan keluarga yang terjejas ditambah cuti persekolahan bakal berakhir tidak lama lagi. – MalaysiaGazette