Nur Zaitul Faridah Sulaiman,40 dan suami Abdul Razak Mohd Rauzan,46 yang menghidapi sakit buah pinggang serta dua anakanya di hadapan khemah tempat tinggal mereka sementara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bawah flyover bersebelahan Kampung Seri Makmur, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

GOMBAK – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itu keadaan dilalui sepasang suami isteri yang hilang tempat berteduh selepas rumah peninggalan bapanya terlibat dalam operasi perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak, di sini, pada Isnin lalu.

Nur Zaitul Faridah Sulaiman, 40, berkata, dia bersama suaminya yang sakit dan empat cahaya mata terpaksa mendirikan khemah di bawah jambatan kerana tidak ada tempat lain untuk berteduh.

Dia merupakan antara sembilan keluarga penduduk asal yang tercicir daripada senarai untuk mendapat tawaran penempatan semula itu.

Lebih menyedihkan, wanita itu terpaksa menjaga suaminya yang mengalami angin akhmar dan dua daripada anaknya adalah Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kami memang penduduk asal di sini sejak sebelum kahwin lagi. Saya seorang suri rumah manakala suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dia juga alami kegagalan buah pinggang seumur hidup.

“Saya juga perlu jaga dua orang anak OKU masalah pendengaran yang masih menerima rawatan di Hospital Selayang manakala seorang lagi leukemia, menerima rawatan di HUKM.

“Bayangkan pendapatan suami hanya RM2,500 nak sewa mana, kami tidak mampu bayar duit pendahuluan (deposit) rumah dalam masa singkat, paling murah pun RM3,000 macam tu untuk sini.

“Tambah pula hari perobohan rumah masa anak saya dapat keputusan SPM dan balik dari rawatan dialisis rumah saya sudah separuh dirobohkan, mana kami anak beranak nak berlindung?

“Saya sekarang ini tidak minta simpati daripada kerajaan, cuma sediakan penempatan semula dan beri pampasan sebab saya banyak tanggungan, tambah tiada bumbung untuk berlindung,” katanya dalam nada sebak.

Nur Zaitul Faridah Sulaiman, 40 bercakap ketika sidang media mengenai penjelasan situasi sebenar berkait isu perobohan di bawah flyover bersebelahan Kampung Seri Makmur, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

Nur Zaitul Faridah rasa terkilan selepas mendapati keluarganya tercicir walaupun telah mematuhi semua syarat dan menyerahkan dokumen berkaitan.

Lebih malang lagi katanya, khemah yang diduduki mereka patah dan dimasuki air akibat hujan lebat.

Sementara itu, penghantar makanan, Mohamad Ali Osman, 41, berharap, isu penempatan dan rumah ganti dapat diselesaikan sebelum Selasa depan.

Sejak perobohan itu dilaksanakan pada 27 Mei lalu, dia tidak dapat memberi fokus pada pekerjaannya kerana memikirkan keselamatan anak-anak dan isterinya yang masih tiada tempat berteduh.

“Sebagai bapa, saya rasa gagal jika lihat isteri dan anak-anak terus tinggal sebagai gelandangan seperti ini.

“Saya sedang mencari rumah sewa sekitar Sri Gombak memandangkan anak-anak bersekolah di sini namun kadar sewa mahal, bagi bajet RM700 sedikit jauh dari sini.

“Untuk sedia deposit memang tiada kemampuan saya tak boleh biarkan anak-anak terus begini dan perlu bawa mereka keluar jadi akan ikhtiar meminjam dari kawan-kawan ,” luahnya.

Mohamad Ali Osman,41 serta keluarganya berteduh di bawah khemah selepas perobohan rumahnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bawah flyover bersebelahan Kampung Seri Makmur, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

Bagi Ikuan Amran, 21, yang merupakan anak yatim piatu turut berasa sedih apabila rumah peninggalan kedua ibu bapanya telah dirobohkan dan kini hanya tinggal seorang diri.

Dia merupakan anak sulung daripada dua beradik kini tiada tempat berteduh apatah lagi saudara mara untuk membantu selain itu dia hanya bekerja kilang dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Malah dia mengakui tidak tahu apa yang harus dilakukan selepas rumahnya dirobohkan.

“Saya terkilan juga sebab usia muda macam ini saya alami bebanan yang banyak ditambah nak tampung adik belajar dekat universiti. Kedua ibu bapa saya pula telah meninggal dunia lama akibat kanser pada 2015 dan 2020

“Kalau nak cari rumah sewa amat berat sangat sekarang dengan gaji saya tidak seberapa ditambah deposit rumah pun agak tinggi.

“Saya harap kerajaan negeri bantulah kami ini berikan penempatan semula dekat mana-mana pun untuk berlindung dari hujan dan panas serta keselamatan,” katanya.

Ikhwan Amran,21 bercakap ketika sidang media mengenai rayuan penduduk yang tercicir dan penjelasan situasi sebenar berkait isu perobohan di bawah flyover bersebelahan Kampung Seri Makmur, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

Terdahulu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak berkata, tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lepas itu dibuat mengikut prosedur.

PDT Gombak memaklumkan perobohan itu berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.

Pada Khamis lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, baki keluarga yang mendakwa terkesan dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur pada Isnin lalu perlu membuktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula selain tidak mendapat pampasan daripada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette