Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Mawlid Akbar Darul Ehsan Berselawat di Tapak Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

SHAH ALAM – Perdana Menteri menyeru rakyat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Madani yang berpaksikan kekuatan, semangat dan berjiwa Islam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan negara juga harus dicapai bertunjangkan kepada kekuatan akidah dan akhlak islamiah.

“Sebagai tanggungjawab bersama mari kita hidupkannya dan  menambah keikhlasan ‘Al-Amal Lillahi Taa’la’ dan dalam masa sama membawa roh ini dalam hidup dan negara kita,” katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mawlid Akbar Darul Ehsan Berselawat di Tapak Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 02 JUN 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mawlid Akbar Darul Ehsan Berselawat di Perkarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Anwar yang berbaju Melayu biru lengkap bersampin sempat berqasidah dan berselawat bersama lebih 50,000 hadirin yang dipimpin Habib Ali Zainal Abidin As-Segaf.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan tokoh ulama terkemuka dunia, iaitu bekas Mufti Agung Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah.

Festival Turath Islami Selangor kali kedua yang dianjurkan dari 26 Mei hingga hari ini bertujuan menghidupkan kembali turath dalam kehidupan harian umat Islam di Nusantara.

Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat dituntut menambah keikhlasan dan beramal dalam apa jua keadaan, aktiviti dan tempat.

“Pada masa sama menuntut kita untuk sentiasa kembali menjiwai roh Islam dengan ikhlas yang memuliakan Nabi Muhammad SAW.

“Apa usaha kita dirumah, di sekolah, di pejabat, di kementerian, dan dalam kehidupan, itu terpancar dari hati nurani yang ikhlas,” jelasnya. – Malaysiagazette