MARAN – Kerajaan negeriu Pahang menubuhkan Sekretariat Anak Felda Pahang pada Ogos ini dalam usaha mendekati dan menjaga kebajikan generasi anak peneroka yang merantau ke negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif tersebut akan melalui beberapa fasa kelulusan menerusi perbincangan Mesyuarat Exco Negeri.
Jelas Wan Rosdy, sebelum ini kerajaan negeri berhasrat menghimpun komuniti tersebut menerusi Sekretariat Anak Perantau Pahang namun setelah dikaji dan diperhalusi adalah lebih relevan jika ia diasingkan setelah mengambil kira bilangan mereka yang ramai.
”Saya fikir anak Felda yang berada di luar Pahang pun ramai, jadi untuk lebih fokus, lebih menjurus, senang sekiranya ada program, maklumat dan sebagainya. Saya telah mengasingkan (sekretariat) dan meletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Amizar.
“Maknanya kita dapat tahu anak-anak Felda yang berada di luar Pahang ni ramai mana, mungkin kita nak buat program, kita nak buat contohnya jamuan raya, ramah mesra, atau mendengar halatuju yang di bawa oleh Pengerusi Felda, dan anak-anak Felda di luar Pahang mendapat penerangan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Segalanya FELDA Peringkat Negeri Pahang di Perkarangan Stadium Tun Razak, di sini, hari ini.
Difahamkan lebih 40,000 anak perantau Felda di luar Pahang telah dikenalpasti dan mendaftar di bawah Sekretariat Perantau Anak Pahang dan Sekretariat Mahasiswa Pahang.
Menurut Wan Rosdy, penubuhan sekretariat itu secara tidak langsung dapat memberi pendedahan terhadap prestasi dan usaha kerajaan terhadap masyarakat Felda.
Beliau juga optimis ia dapat menambah sokongan politik dalam kalangan generasi muda Felda apabila mendapat fakta yang tepat mengenai kerajaan. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan