Penduduk-penduduk Kemensah melakukan flashmob bantahan terhadap projek pembinaan tiga blok pangsapuri setinggi 35 tingkat di kawasan mereka di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Penghuni di beberapa kawasan perumahan dekat Melawati, di sini, membantah projek pembinaan tiga buah pangsapuri yang kini sedang dibangunkan di tempat mereka.

Ini kerana, penduduk mendakwa projek pembinaan bangunan setinggi 35 tingkat itu bakal memberi kesan berpanjangan terutama daripada segi keselamatan susulan ia dibangunkan tanpa mengikut garis panduan yang sepatutnya.

Malah, tidak ada juga perbincangan diadakan terlebih dahulu oleh pihak pemaju mahupun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai pihak berkuasa tempatan di kawasan itu bersama persatuan penduduk sebagai makluman untuk projek itu dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kemensah, Mohd Rafie Ali berkata, tidak ada penduduk di kawasan tersebut yang bersetuju dengan pembinaan pangsapuri tersebut.

Katanya, mereka bukannya hendak menghalang pembangunan dilakukan di kawasan itu, tetapi pembangunan yang dilakukan seolah-olah tidak dibuat mengikut kajian yang sewajarnya serta tidak mengambil kira faktor-faktor penting melibatkan kesejahteraan penduduk.

“Kawasan Kemensah ini memanglah ibarat permata, semua pemaju datang ke sini nak buat duit, tapi infrastruktur tidak dinaiktaraf dengan sempurna.

“Bukan sahaja dari segi keselamatan, tetapi keselesaan penduduk juga perlu juga diambil tahu oleh pihak-pihak yang berkenaan. Contohnya, jika pangsapuri ini sudah didiami nanti bagaimana pula dengan kesesakan jalan yang akan berlaku.

“Hal ini sahaja saya percaya tidak dikaji terlebih dahulu,” katanya ketika mengadakan flashmob bantahan bersama penduduk Kemensah, di sini, hari ini.

Mohd Rafie Ali

Menurut Mohd Rafie, beliau hairan dengan projek yang sedang berjalan itu kerana papan tanda pemakluman projek berkenaan yang baru dipasang semalam tidak disertakan bersama maklumat berkaitan perancang bandar bagi projek itu.

Ujarnya, apa yang berlaku sudahpun meninggalkan keraguan kerana ia merupakan salah satu maklumat penting perlu dipaparkan agar sekiranya berlaku sesuatu pihak berkenaan boleh dirujuk.

“Saya cuma nak beritahu, tolong sampaikan pesanan rayuan kami ini kepada pihak yang berkenaan, tengoklah kembali projek ini.

“Kita boleh duduk semeja bekerjasama untuk meneruskan projek ini dengan syarat biarlah betul teknikal-teknikal tertentu yang perlu diikuti,” tambahnya.

Seorang penduduk, Mohd Shukor Zainal Rafie Ali mendakwa, projek tersebut telah memberikan kesan awalan sebelum ia benar-benar dimulakan.

Katanya, terdapat gegaran ketika projek meratakan kawasan tanah dilakukan oleh kontraktor hingga menyebabkan penduduk merasa bimbang tentang keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

“Bayangkan, bangunan 35 tingkat yang mahu dibina di peringkat permulaan telahpun menggegarkan rumah-rumah penduduk sedia ada, sedangkan bangunan itu belum lagi dibangunkan.

“Kawasan yang hendak dibina pangsapuri ini merupakan cerun dan bagaimana sebuah bangunan  setinggi itu boleh diluluskan oleh pihak MPAJ tanpa melakukan kajian yang mendalam,” ujarnya.

Mohd Shukor Zainal

Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, projek tersebut boleh mendatangkan masalah kepada penduduk pada masa akan datang kerana ia merupakan kawasan yang sangat sensitif.

Beliau mengambil contoh kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku di Bukit Antarabangsa yang turut berada di kawasan berkenaan beberapa tahun lalu.

Lantaran itu, sebarang bentuk pembangunan yang hendak dilakukan mestilah mematuhi syarat-syarat ketat pembangunan yang telahpun ditetapkan.

“Malangnya kita dapat maklumat bahawa belum ada kajian-kajian yang terperinci dan menyeluruh diadakan sama ada  laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) ataupun TIA ataupun SIA.

“Sekarang ini bukan sekadar EIA tetapi, soal impact assessment (penilaian impak) juga perlu diadakan untuk melihat, apakah kesan pembangunan ini kepada keselamatan dan juga kesejahteraan penduduk di kawasan ini,” ujarnya.

Menurut Azmin, beliau percaya projek tersebut dibuat secara tergesa-gesa dengan papan tanda projek baru dipasang setelah kerja-kerja tanah dimulakan seminggu yang lalu.

“Saya telah mengumpulkan banyak maklumat daripada penduduk dan juga pakar-pakar. Saya telah menyatakan komitmen selaku wakil rakyat di Hulu Kelang untuk bersama dengan penduduk membantah keras projek yang tidak menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

“Sekiranya MPAJ gagal mematuhi dan memenuhi syarat-syarat pembangunan, saya tidak teragak-agak untuk membawa isu ini ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan bersidang pada 4 Julai akan datang.

“Saya berharap kerajaan negeri dan juga PBT harus mengambil perhatian yang serius sementara pembangunan itu penting untuk menjamin pertimbuhan ekonomi, tetapi pembangunan itu mestilah yang berkualiti serta tidak menjejaskan persekitaran alam sekitar, keselamatan dan juga kesejahteraan penduduk di kawasan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette