Tony Pua

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua didakwa bersikap hipokrit berkaitan isu pemilihan syarikat suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam projek Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) di Selangor.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara itu tiba-tiba muncul seperti malaikat untuk membela Hannah yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Kata Mohd. Puad, isu tata kelola pemilihan Asia Mobiliti Sdn Bhd yang dimiliki suami Hannah timbul kerana projek tersebut diluluskan oleh Exco Selangor, Ng Sze Han yang juga Penolong Bendahari Kebangsaan DAP.

“Menurutnya (Tony) syarikat milik suami Hannah Yeoh adalah syarikat yang berprestasi dan ada pengalaman. Apakah prestasi tiket untuk bulldoze tata kelola?

“Sedangkan isu yang berbangkit dan jadi kontroversi ialah isu tata kelola, konflik kepentingan dan double standard dari segi penyiasatan.

“Hannah Yeoh orang kuat DAP. Exco yang meluluskan dari DAP. Apakah tidak mungkin dengan satu mesej “pm tepi” konflik kepentingan tidak boleh berlaku?” soal Puad.

Menurut Puad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan ke atas pemilihan tersebut.

Beliau menegaskan, seperti Hannah, bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan suami juga menjadi mangsa persepsi selama 12 tahun berhubung isu National Feedlot Corporation Mohamad Salleh Ismail.

“Sebab itu perlu disiasat. Kenapa siasatan pun jadi satu masalah. Itu yang menyebabkan SPRM dikutuk. Kealiman dan pengaruh kecil bukan jaminan seseorang itu suci bersih.

“Tony Pua kata Hannah Yeoh mangsa persepsi. Apakah Shahrizat dan suaminya bukan mangsa persepsi selama 12 tahun. Mahkamah putus mereka tidak bersalah.

“Mujur Tony Pua tidak lama dalam Kementerian Kewangan dan jadi orang berpengaruh di situ. Mungkin akan banyak hipokrasi berlaku atas nama prestasi dan kealiman,” kata Puad.

Semalam Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara menegur mereka yang mengkritik Hannah.

Tony membidas mereka yang membandingkan kedudukan Hannah dengan Shahrizat ‘yang suaminya pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Mohamad Salleh Ismail.

“Malah membandingkan Hannah Yeoh dengan skandal NFC. Oh wow. Soundbites yang hebat. Umpan klik yang hebat. Pasti hebat untuk imej yang lebih suci berbanding orang lain.

“Lagipun dia adalah sasaran yang sempurna. Tanpa cela. Rajin. Berprinsip. Teladan yang hebat. Hampir tiada yang buruk.

“Maka menjadi skandal yang menarik perhatian jika ada kemungkinan salah laku,” kata Tony.

SPRM sebelum ini dilaporkan sedang menyiasat projek melibatkan suami menteri itu selepas menerima beberapa aduan dan petunjuk baru berhubung perkara itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki juga dilaporkan berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelantikan itu kerana ia dibuat oleh entiti berbeza – kerajaan negeri Selangor – dan bukan oleh kementerian dipimpin Hannah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Projek Fidlot pun bukan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita yg diketuai oleh DS Sharizat. Tapi di bawah Kem. Industri Asas Tani bwh DS Noh Omar..tak ada kaitan pun dgn DS Sharizat…tp kenapa masa tu DAP & PKR melalak2..sebar fitnah dan persepsi lembu dlm kondo??? Celaka laaa korang ni..masa kena muka ko mcm2 alasan ko yer…sama laa kes banglo Guan Eng…masa tu Tony Puaka ni senyap mcm tokong!

Comments are closed.