Para pelajar UTHM yang menyertai program penanaman anak pokok anjuran universiti dengan kerjasama Evergreen Fibreboard Berhad.

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama dengan Evergreen Fibreboard Berhad untuk melaksanakan program penanaman ratusan anak pokok di sekitar kampus.

Menurut Pengarah Pejabat Kampus Lestari (SCO), Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir, sebanyak 644 batang pokok telah ditanam di sekitar UTHM sejak 2021 antaranya pokok durian, mangga, rambutan dan ciku.

“Ini merupakan inisiatif jangka masa panjang untuk mengurangkan kesan perubahan iklim serta mempromosikan persekitaran yang lebih hijau dan mampan di dalam kampus.

“Ia juga menjadi salah satu langkah pihak universiti untuk menyokong ‘Program Penghijauan Malaysia’ melalui ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ bermula tahun 2021 hingga 2025.

“Sepanjang kelangsungan program ini juga, Evergreen Fibreboard telah menyumbang 500 anak pokok dan 300 anak spesis Eucalyptus Robusta (Swamp Mahogany) untuk ditanam sekitar kawasan Buffer Zone, Blok G7, kampus induk pada 30 Mei 2024,” katanya.

Penanaman pokok juga merupakan kaedah alami yang paling efektif untuk menyerap karbon dioksida sekaligus mengurangkan kesan gas rumah hijau. – MalaysiaGazette