BAGAN SERAI – Seorang wanita berusia 52 tahun maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta di Simpang Empat Semanggol, dekat sini, pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 7.06 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan enam mangsa dalam kereta jenis Perodua Myvi serta seorang wanita yang memandu Toyota Yaris.
“Semua enam mangsa yang terlibat tidak tersepit pada bangkai kenderaan masing-masing.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) sementara lima mangsa lain mengalami kecederaan dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Tambah Sabarodzi, pasukan bomba melalui Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa-mangsa cedera sebelum diserahkan kepada pihak KKM.
Ujar beliau, mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Komander Operasi JBPM, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Fauziah Baharuddin tamat pada jam 8.51 pagi, sementara identiti mangsa serta punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette