Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis menasihati orang ramai berwaspada taktik penggodaman telefon melalui muat turun fail aplikasi (APK) yang dikesan kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penggodaman telefon pintar adalah modus operandi yang sering digunakan penjenayah untuk tujuan mencuri data, mengakses maklumat kewangan dan seumpamanya.

Antara taktik yang dikesan masih digunakan sejak pertengahan tahun 2023 adalah dengan penyebaran mesej jemputan perkahwinan melalui fail APK yang bersamanya ada perisian hasad (malware).

“Hasil siasatan mendapati mesej jemputan perkahwinan tersebut biasanya akan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mangsa.

“Sekiranya mangsa memuat turun dan memasang aplikasi tersebut, penjenayah akan memperoleh akses penuh terhadap telefon mangsa tanpa disedari,’ katanya dalam kenyataan.

Tambah Ramli, akses berkenaan akan membolehkan penjenayah mencuri data milik mangsa malahan boleh mengakibatkan mangsa mengalami kerugian wang ringgit.

Jelasnya, polis percaya, taktik ini menyasarkan mangsa dalam kalangan individu yang kurang pengetahuan berkaitan teknologi.

“Justeru, adalah dinasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi  yang diterima melalui mesej, emel dan seumpamanya.

“Adalah dinasihatkan, sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hanyalah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” tegasnya.- MalaysiaGazette