Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan pemaju perumahan bertanggungjawab dan tidak menganiaya  pembeli rumah mampu milik.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengalaman pembeli rumah daripada sebuah syarikat di kawasannya menunjukkan betapa pentingnya sektor rumah mampu milik diselia lebih ketat dengan memastikan pemaju berintegriti serta tidak ambil peluang ke atas pembeli.

Katanya, di Tasek Gelugor, syarikat pemaju perumahan besar itu sedang giat membina perumahan mampu milik.

“Saya mengalu-alukan projek sebegini kerana warga Tasek Gelugor dan kawasan berdekatan memang memerlukannya. Saya difahamkan Scientex sedang giat memperluaskan land bank mereka di negeri lain juga.

“Bagaimanapun, sejak tahun lalu saya dihujani aduan pembeli-pembeli rumah tersebut mengenai sikap tidak endah pemaju terbabit yang amat perlahan membaiki kerosakan rumah mereka. Dinding retak, pintu tercabut, simen beralun dan banyak lagi.

“Selepas saya masuk campur, ada sedikit penambahbaikan tetapi hanya sementara sahaja. Selepas beberapa bulan, pemaju kembali ke perangai lama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong mengenai keperluan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Malaysia.

Katanya, keperluan membina rumah mampu milik bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar malah di kawasan pinggir bandar juga.

“Namun kerajaan mesti pastikan pemaju bertanggungjawab dan tidak berlaku masalah kualiti rumah serta kerosakan yang tidak diendahkan oleh pemaju selepas projek siap,” ujarnya. – MalaysiaGazatte