PUTRAJAYA – Meskipun dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) tidak dapat mendengar dan bertutur, Nurin Alya Halid berjaya membuktian dia mampu mengecapi kejayaan sehingga menjadi usahawan batik.

Lebih membanggakan, beliau menjadi penerima Anugerah Sumber Inspirasi sempena majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas, Tahun 2024 pada hari ini.

Wanita kelahiran Kg. Melayu Raya Sagil, Johor itu menamatkan pendidikan di peringkat menengah dah memperoleh SKM Tahap 3 dalam program Operasi Pengeluaran Batik.

Kini dalam usia mencecah 25 tahun, Nurin sudah memiliki dan mengusahakan Rinleed Batik, sebuah syarikat berasaskan produk hasil batik canting di Tangkak, Johor.

Katanya, apa yang dikecapinya pada hari ini adalah hasil sokongan berterusan daripada kedua orang tuanya.

Selain itu, sikap tidak mudah berputus asa membolehkan dia mengecapi kejayaan.

“Bukan hanya saya sahaja yang boleh (berjaya), yang senasib dengan saya jangan gunakan kekurangan diri sendiri sebagai OKU untuk berputus asa. Jangan malas, terus semangat untuk sama-sama berjaya,” katanya Ketika ditemui di majlis berkenaan.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik itu berkata, beliau sentiasa bersyukur dengan nikmat pencapaiannya yang diberikan Allah.

“Gembira, dapat anugerah secara langsung daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang disampaikan Timbalan Menteri (Wong Kah Woh. Semua pencapaian saya ini, saya tahu daripada Allah,” tambahnya.

Rinleed merupakan syarikat an bengkel batik yang menghasilkan kain pasang, kaftan, jubah dan fabril berasaskan cantik an blok yang bermotifkan tradisional, geometri dan bunga-bungaan.

Ditanya bagaimana boleh menceburkan diri dalam batik, Nurin berkata ia bermula daripada minatnya terhadap corak batik yang pelbagai dengan padanan warna yang menarik.

“Saya suka warna yang cantik seperti bunga-bungaan sampai saya suka canting batik, bila saya tengok baju pada baju yang cantik ia beri idea untuk terus canting corak yang lebih cantik daripada contoh yang ada dan kemudian jual,” ujarnya.

Selain itu, Rinleed Batik turut aktif mengadakan interaktif kraf mewarna bukan sahaja di bengkel malah sekitar daerah Johor untuk tujuan promosi pelancongan.

Nurin menyimpan impian untuk membawa hasil batik rekaannya sendiri hingga ke persada antarabangsa pada satu hari ini.- MalaysiaGazette