MELAKA – Seorang pemuda direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini kerana disyaki mencabul seorang pelajar asrama di sini, dua minggu lalu.

Perintah reman ke atas operator kilang berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bermula hari ini sehingga 4 Mei.

Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas guru sekolah mangsa menyedari mangsa pelajar lelaki berusia 17 tahun sering menerima pelawat dalam keadaan mencurigakan di asrama pada setiap minggu.

“Guru berkenaan berasa curiga apabila suspek hanya meluangkan masa berdua dengan mangsa di dalam kereta yang diparkir di kawasan sekolah.

“Kejadian terbaru berlaku pada 19 dan 20 April lalu dan apabila disoal siasat oleh guru, remaja terbabit mengaku dicabul suspek yang dikenalinya menerusi permainan video atas talian,” katanya.

Jelasnya selepas disiasat, mangsa mendakwa setiap kali dilawati lelaki itu, suspek mengajaknya berbual lucah sebelum mengurut kemaluannya.

“Perbuatan itu berlaku berulang kali setiap kali suspek melawatnya di asrama setiap hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa berusia 49 tahun kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir pada 23 April lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast