Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pemilik Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd yang terkenal dengan tindakan menghentikan jualan jenama yang terlibat dengan Israel meninggal dunia.

Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.45 pagi di di Hospital KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur akibat kanser.

Solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Khalifah Jalan Pusara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, di sini.

Pasar raya Sabasun secara rasmi menghentikan jualan jenama yang terlibat dengan Israel pada Mac lalu.

Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman Coca-Cola dan Pepsi.

Pasar raya itu kemudian memboikot barangan lain yang memberikan keuntungan kepada Israel.

Sementara itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Che Salmi.

Ahmad Samsuri menyatakan khabar pemergian itu turut mendukacitakan rakyat Terengganu.

“Sangat terkesan dengan pemergian pemilik Pasaraya Sabasun, Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim pada pagi tadi.

“Antara kebaikan terbesar beliau sebelum dijemput Ilahi ialah memutuskan untuk tidak menjual sebarang produk boikot di Pasaraya Sabasun,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Samsuri turut mendoakan kesejahteraan Allahyarham Che Salmi dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.-MalaysiaGazette