Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Permohonan lanjutan tempoh tahanan reman ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin bergantung kepada keputusan siasatan yang sedang dilaksanakan polis.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan ke atas pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu masih diteruskan.

“Perlanjutan tempoh reman (ibu bapa Zayn) adalah bergantung kepada keputusan soal siasat yang sedang dikendalikan polis ke atas pasangan suami isteri itu dalam tempoh reman pertama yang akan tamat pada 7 Jun ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan tentang kehilangan anak autisme itu di Apartmen Idaman, Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui di anak sungai yang terletak 200 meter dari apartmen Idaman kira-kira jam 9 malam.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut pada awal siasatan sebelum dikategorikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat menyimpulkan anak itu dibunuh apabila menemui kesan kecederaan di leher dan badan mangsa.

Ditanya lagi sama ada polis menemui sebarang petunjuk baharu dalam kes kematian Zayn Rayyan, Hussein berkata, ia masih dalam siasatan polis.

Pada 31 Mei lalu, ibu bapa kepada kanak-kanak autism itu telah ditahan polis di rumah keluarga mereka yang terletak di Puncak Alam sekitar jam 11 pagi. – Malaysiagazette