KUALA LUMPUR – Pemandu bas persiaran yang terbabit nahas di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands sehingga meragut nyawa dua pelancong warga China telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 32 tahun yang cedera itu ditahan pada jam 10.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Katanya, pemandu bas terbabit ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu.
Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kejadian itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, pemandu terbabit dilaporkan tiada lesen memandu dan memiliki 27 rekod saman lampau.
Semalam, sebuah bas pelancong yang membawa 21 penumpang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur.
Zaiham berkata, bas yang membawa 21 penumpang itu dipercayai telah melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik.
“Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan serta 16 penumpang Warga China berjaya dibawa keluar dari bas sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette